Yayasan agih korban, hulur sumbangan

Yayasan agih korban, hulur sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Sebanyak 10 ekor kerbau, tiga ekor sapi dan tiga ekor kambing telah disembelih bagi Ibadah Korban Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) tahun ini dengan melibatkan 94 penyertaan.

Pengagihan daging-daging korban berkenaan telah diadakan pada Majlis Sambutan Aidiladha dan Ibadah Korban Yayasan yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pengagihan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, penolong-penolong pengarah urusan, para jemputan khas, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah YSHHB.

Daging-daging korban diagih-agihkan kepada para peserta korban dan golongan fakir miskin dari beberapa buah kampung yang disampaikan kepada wakil-wakil iaitu, Ketua Kampung Bolkiah A, Awang Shahminan bin Haji Matzin, Ketua Kampung Bolkiah B, Awang Shamsudin bin Haji Maidin, Ketua Kampung Rimba, Awang Puspa Wira bin Haji Mohd Noor, Imam Masjid Kampung Benutan, Awang Hairol Mazlan bin Abdul Razak, Imam Pusat Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Awang Muhd Izzul Islam bin Abdullah dan wakil Imam Masjid Kampung Bukit, Awang Roslan bin Duraman.

pg03_150926_c

pg03_150926_b

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan agihan korban, derma kepada mangsa bencana dan derma khairat pekerja dalam Majlis Sambutan Aidiladha dan Ibadah Korban YSHHB, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan agihan korban, derma kepada mangsa bencana dan derma khairat pekerja dalam Majlis Sambutan Aidiladha dan Ibadah Korban YSHHB, kelmarin.

Para peserta ibadah korban dan akikah kali ini yang dikendalikan oleh Badan Kebajikan Pekerja Yayasan melalui Bahagian Keagamaan, terdiri daripada pegawai-pegawai, guru dan kakitangan Yayasan serta ahli keluarga mereka.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan Yayasan berjumlah $8,500 kepada tiga keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh.

Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa sebagai tanda pemedulian Yayasan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Sumbangan diterima oleh Hajah Fatimah binti Haji Bahar dan Dayang Suriani binti Haji Talip yang merupakan mangsa kebakaran rumah dan Awang Sahrin bin Karim, mangsa kejadian rumah roboh.

Penyampaian bantuan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Selain itu, turut diadakan adalah penyampaian sumbangan berjumlah $500 daripada Tabung Derma Khairat Pekerja-Pekerja Yayasan kepada Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA).

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tabung Derma Khairat Pekerja-pekerja Yayasan, Awang Ahmad Rithauddin bin Haji Sabtu, kepada Yang Berhormat Pehin selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Yayasan melalui pihak DANA sangat-sangat menghargai sokongan dan sumbangan daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di seluruh Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA