Yayasan ceriakan keluarga kurang berkemampuan

Yayasan ceriakan keluarga kurang berkemampuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Dengan hasrat untuk menyuntik rasa keceriaan dan untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang bagi keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) meneruskan Projek Amal sempena bulan Ramadan dengan mengendalikan pengagihan sumbangan berbentuk keperluan asasi dan makanan di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Rombongan lawatan kerja Projek Amal berkenaan diketuai oleh Menteri Pembangunan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Semasa lawatan itu, sumbangan berbentuk barangan keperluan asasi dan makanan telah disampaikan kepada 13 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di beberapa buah kampung di daerah ini yang mana mereka telah dikenal pasti hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini oleh Yayasan.

Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada Hajah Elen binti Razak.
Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada Hajah Elen binti Razak.
Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada Hajah Norlin binti Haji Nordin.
Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada Hajah Norlin binti Haji Nordin.

Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan itu bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga dalam bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.

Bantuan juga dihasratkan bagi menyuntik rasa keceriaan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Projek seumpama itu telah bermula di Daerah Tutong sebelum menjelangnya Ramadan dan diikuti dengan Daerah Belait beberapa hari yang lalu dengan projek itu dihasratkan untuk diteruskan ke seluruh negara dalam bulan Ramadan ini.

ARTIKEL YANG SAMA