Yayasan hulur sumbangan

Yayasan hulur sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Nasib mangsa-mangsa gempa bumi Nepal terus mendapat perhatian di negara ini apabila sumbangan semakin banyak dihulurkan bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Nepal.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini turut tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan sebanyak $50,000 dan menyerahkan sumbangan daripada orang ramai sebanyak $6,259.26 melalui hasil kutipan dari Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Nepal yang ditempatkan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan bermula 5 Mei hingga 14 Julai 2015.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan yang juga Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Gempa bumi berukuran 7.9 Skala Richter melanda Nepal pada 25 April 2015 lalu dan atas keprihatinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Nepal, bertujuan mendapatkan kutipan daripada orang ramai untuk membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung mangsa-mangsa gempa bumi Nepal.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan cek sumbangan kepada Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan cek sumbangan kepada Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.