Yayasan hulur sumbangan

Yayasan hulur sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Menyedari pentingnya peranan tempat-tempat ibadah dalam mengembangkan dakwah Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dari semasa ke semasa telah menghulurkan sumbangan kewangan dan peralatan yang bersesuaian seperti buku-buku agama kepada sebahagian masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Sehubungan itu, majlis penyampaian sumbangan buku-buku rujukan kepada sebahagian masjid surau dan balai ibadat di keempat-empat daerah dan sumbangan derma kepada beberapa orang mangsa kebakaran telah diadakan di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan itu ialah Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Pada majlis berkenaan, Yayasan menghulurkan sumbangan buku-buku rujukan untuk menambahkan koleksi di perpustakaan setiap masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Haji Brahim menyampaikan sumbangan kepada Dayangku Maslelawati.
Haji Brahim menyampaikan sumbangan kepada Dayangku Maslelawati.
Gambar atas/bawah: Haji Brahim menyerahkan buku-buku sumbangan Yayasan  kepada pegawai-pegawai hal ehwal  masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.
Gambar atas/bawah: Haji Brahim menyerahkan buku-buku sumbangan Yayasan kepada pegawai-pegawai hal ehwal masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong.

pg03_151231_b pg03_151231_c pg03_151231_d

Buku-buku rujukan tersebut bukan sahaja untuk kemudahan para jemaah masjid, malah dihasratkan untuk kegunaan dan bahan rujukan bagi penduduk kampung di masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.

Sebanyak 45 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan buku-buku rujukan berkenaan iaitu 22 buah masjid di Daerah Brunei dan Muara, empat buah di Daerah Belait, lima buah di Daerah Tutong dan 14 buah di Daerah Temburong dengan sumbangan diterima oleh pegawai hal ehwal masjid bagi setiap daerah.

Pada majlis itu juga, Yayasan menghulurkan sumbangan derma sebagai pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah dengan bantuan itu dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Sumbangan kewangan berjumlah $1,800 keseluruhannya telah disampaikan kepada tiga buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sungai Bakong, Lumut baru-baru ini.

Sumbangan telah disampaikan oleh Haji Brahim kepada ketua keluarga mangsa kejadian itu iaitu Awang Faizal bin Haji Metassan, Dayangku Maslelawati binti Pengiran Abdul Karim dan Awang Ariffin bin Haji Timbang.

Penyampaian sumbangan ini adalah selaras dengan penubuhan Yayasan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

ARTIKEL YANG SAMA