Yayasan hulur sumbangan

Yayasan hulur sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini menyampaikan sumbangan kepada mangsa musibah kebakaran rumah dan dua pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam penyampaian sumbangan kepada mangsa musibah kebakaran, sejumlah $3,450 diserahkan kepada Awang Bolariffin bin Abdul Ghani/Bolganikan yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Lorong Dalam, Kampong Ayer pada 5 Oktober lalu. Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Awang Bolariffin ketika ditemui melahirkan ucapan ribuan terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas sumbangan yang diberikan. “Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban seharian kami sekeluarga,” katanya.

Manakala dalam sumbangan kepada dua buah badan bukan kerajaan, Yayasan menghulurkan sumbangan kewangan kepada Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dan Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam bagi menyokong persatuan ini mengendalikan program keilmuan dan kemasyarakatan.

Sumbangan disampaikan oleh Haji Brahim diterima oleh Ketua 1 ASTERAWANI, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Yang Di-Pertua Persatuan Siswazah Wanita, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaluddin.

Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada wakil ASTERAWANI.
Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada wakil ASTERAWANI.
Mangsa kebakaran rumah baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak Yayasan yang diwakili oleh Haji Brahim.
Mangsa kebakaran rumah baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak Yayasan yang diwakili oleh Haji Brahim.
Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada Pengiran Hajah Zabaidah.
Haji Brahim menyerahkan sumbangan kepada Pengiran Hajah Zabaidah.

Sumbangan untuk ASTERAWANI adalah bagi perbelanjaan menaja Pertemuan Sasterawani Brunei (PSB) ke-6 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pertemuan yang akan diadakan pada November bertemakan ‘Semarak Sastera pada Era Kebawah Duli’ itu memfokuskan perbincangan perkembangan karya-karya sastera dan penulis tanah air pada zaman pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari tahun 1968 sehingga sekarang. Tema dipilih bersempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun.

Manakala sumbangan untuk Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam adalah bagi menaja sebahagian perbelanjaan menganjurkan Persidangan Wanita Serantau 2016 bertemakan ‘Keperibadian Muslimah Mithali Paksi Kecemerlangan Ummah’ yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini.

Persidangan ini bertujuan mempertingkatkan pengetahuan dan menghayati keperibadian Muslimah sejati ke arah kecemerlangan ummah. Ia akan menjemput penceramah-penceramah dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Brunei Darussalam.