Yayasan hulur sumbangan

Yayasan hulur sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

TEMBURONG, 15 Jun – Sebanyak 28 buah keluarga di Mukim Bokok dan sebahagian Mukim Bangar, Daerah Temburong, yang memerlukan bantuan dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), dalam lawatan kerja dan penyampaian sumbangan di daerah ini, hari ini.

Mengetuai rombongan menyampaikan sumbangan ke rumah-rumah penerima berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Turut serta dalam rombongan ini ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, para pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

Sumbangan-sumbangan bantuan yang dihulurkan adalah berbentuk kewangan, barang keperluan asasi dan makanan, peralatan keperluan pesakit khusus untuk sebahagian warga emas dan juga bantuan membaik pulih sebuah rumah warga emas yang berjumlah $27,560 keseluruhannya.

Lawatan kerja dan penyampaian sumbangan berkenaan merupakan projek amal pihak Yayasan sempena bulan Ramadan.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sebuah kerusi roda sumbangan Yayasan kepada seorang warga emas di Daerah Temburong kelmarin.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sebuah kerusi roda sumbangan Yayasan kepada seorang warga emas di Daerah Temburong kelmarin.

Keluarga-keluarga yang menerima sumbangan berkenaan dikenal pasti hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini oleh pihak Yayasan dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan ini bertujuan bagi membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.

Bantuan ini juga dihasratkan dalam menyediakan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Antara penerima sumbangan ialah seorang balu di Kampung Batang Tuau, Hajah Saipah binti Haji Yahya yang menerima sumbangan bantuan asasi, tilam khas dan membaik pulih bilik.

Hajah Saipah ketika dihubungi, telah melahirkan perasaan amat gembira dan bersyukur atas bantuan yang diberikan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan.
Salah seorang ahli keluarga mangsa kebakaran rumah menerima bantuan Yayasan.
Salah seorang ahli keluarga mangsa kebakaran rumah menerima bantuan Yayasan.

Beliau turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas amal jariah dan derma khairat Baginda dan kerabat Baginda yang sentiasa memeduli dan kasih kepada rakyatnya.

Selain bantuan asasi, sebahagian penerima yang mengalami kesukaran berjalan turut menerima sumbangan tongkat dan kerusi roda serta tilam khas.

Dalam pada itu, Yayasan juga telah menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah $7,200 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah yang berlaku semalam di Kampung Sungai Tanit, Daerah Temburong.

Sumbangan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan diterima oleh ketua-ketua keluarga berkenaan iaitu Awang Hamdan bin Aliasgar dan Mohammad Zefeandi Arshad bin Zefry.

Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

ARTIKEL YANG SAMA