Yayasan hulur sumbangan berjumlah lebih $70,000

Yayasan hulur sumbangan berjumlah lebih $70,000

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Selaras dengan wawasannya untuk memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menghulurkan sumbangan berjumlah $73,050 kepada Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI), mangsa-mangsa kebakaran rumah dan rumah roboh, dan sebahagian daripada masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Penyerahan sumbangan berlangsung di Kompleks Yayasan, di ibu negara, hari ini, dan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah penolong-penolong pengarah urusan, para pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan.

Di majlis itu, sumbangan berjumlah $5,000 telah disampaikan kepada ASTERAWANI bagi membiayai sebahagian perbelanjaan menganjurkan Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-XVIII Tahun 2015, yang merupakan kali keempat menjadi tuan rumah selepas tahun 1985, 1994, 2001 dan 2010.

Sumbangan diterima oleh Ketua 2 ASTERAWANI, Haji Jawawi bin Haji Ahmad.

Pengarah Urusan Yayasan menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran rumah.
Pengarah Urusan Yayasan menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran rumah.
Pengarah Urusan Yayasan menyerahkan sumbangan kepada wakil ASTERAWANI.
Pengarah Urusan Yayasan menyerahkan sumbangan kepada wakil ASTERAWANI.

Seterusnya, sumbangan berjumlah $28,600 dihulurkan kepada 14 buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah dan rumah roboh di Kampung Rataie, Temburong, Kawasan 2 Perpindahan Menteri, Flat Lapangan Terbang Lama Berakas, STKRJ Kampung Mata-Mata, dan Kampung Anggerek Desa, baru-baru ini.

Sumbangan ini adalah pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran, yang mana bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, sumbangan berjumlah $39,450 diberikan kepada 43 buah masjid, surau dan balai ibadat di keempat-empat daerah, dengan 16 daripadanya di Daerah Brunei dan Muara, 15 di Daerah Tutong, lima di Daerah Belait, dan tujuh lagi di Daerah Temburong.

Bantuan ini merupakan projek tahunan Yayasan dalam bidang agama untuk memeriahkan lagi aktiviti-aktiviti masjid, surau dan balai ibadat di bulan Ramadan yang bakal menjelang.

ARTIKEL YANG SAMA