Yayasan lancar ‘Brunei Merdeka’

Yayasan lancar ‘Brunei Merdeka’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah melancarkan buku ‘Brunei Merdeka’ yang merupakan Kumpulan Artikel Sempena Memperingati Sambutan 30 Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Pelancarannya pada majlis yang berlangsung di Tingkat 4, Kompleks Yayasan di ibu negara, telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Diterbitkan oleh Yayasan, buku tersebut merupakan sebagai sumbangannya dalam mendokumentasikan hasil penyelidikan di samping untuk menambahkan sumber rujukan di negara ini.

Buku yang diselenggarakan oleh Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) ini mengandungi 13 buah artikel yang disumbangkan oleh sarjana-sarjana dan sejarawan tanah air dan luar negara.

Sesuai dengan matlamat penubuhan PESEBAR untuk menggalakkan minat yang lebih luas terhadap sejarah nasional dalam kalangan rakyat di negara ini, buku ini membahaskan tentang pencapaian dan cabaran yang dilalui oleh Negara Brunei Darussalam sepanjang 30 tahun kemerdekaannya, perbicaraan dari aspek sosial, ekonomi, perlembagaan, undang-undang hinggalah membawa kepada politik luar Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melihat lebih dekat isi kandungan buku ‘Brunei Merdeka’.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi melihat lebih dekat isi kandungan buku ‘Brunei Merdeka’.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan buku berkenaan kepada Yang Berhormat Pehin Dr. Ustaz Haji Awang Yahya.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan buku berkenaan kepada Yang Berhormat Pehin Dr. Ustaz Haji Awang Yahya.
Antara penulis dan tetamu yang hadir pada majlis pelancaran buku berkenaan.
Antara penulis dan tetamu yang hadir pada majlis pelancaran buku berkenaan.
Buku ‘Brunei Merdeka – Kumpulan Artikel Sempena Memperingati Sambutan 30 Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’.
Buku ‘Brunei Merdeka – Kumpulan Artikel Sempena Memperingati Sambutan 30 Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’.

Antara 13 buah artikel berkenaan ialah Perkembangan Perlembagaan dan Politik Negara Brunei Darussalam Selepas Mencapai Kemerdekaan Pada Tahun 1984 oleh Yusop Damit; Negara Brunei Darussalam Meniti 30 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Ekonomi Wawasan 2035 oleh Dato Paduka Dr Haji Ismail bin Haji Duraman; Royal Brunei Armed Forces (ABDB) Since Independence Of 1984: A General View oleh B.A. Hussainmiya; Brunei Relations With Malaysia: 1963-1983 oleh Dr Nani Suryani binti Haji Abu Bakar; Three Decades Of Brunei Darussalam’s Foreign Policy: From Initiation to Maturity oleh Pushpa Thambipillai; Perkembangan Undang-undang Syariah Hingga 2013: Satu Tinjauan Ringkas oleh Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim; Peranan Wanita Dalam Pembinaan Negara-Bangsa oleh (Allahyarham) Datin Dr Hajah Saadiah binti Datu Derma Wijaya Haji Tamit; Peranan Golongan Intelektual Brunei Dalam Konsep Melayu Islam Beraja oleh Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Dasar-Dasar Pendidikan Negara Brunei Darussalam Pascamerdeka 1984-2014: Dari Dwibahasa ke Pendidikan Abad 21 oleh Profesor Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail; Perkembangan Rancangan Perpindahan Negara Brunei Darussalam Pascamerdeka: Satu Dasar Kebajikan Negara oleh Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar; Tema Novel-Novel Brunei Darussalam Selepas Merdeka oleh Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah; Enam Puluh Tahun Arkeologi Di Negara Brunei Darussalam oleh Dato Paduka Haji Matussin bin Omar; dan Sultan Haji Hassanal Bolkiah: Berwawasan Keislaman oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Penerbitan Buku ‘Brunei Merdeka – Kumpulan Artikel Sempena Memperingati Sambutan 30 Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ ini juga merupakan sumbangan amal Yayasan dalam memperkembangkan bidang ilmu pengetahuan selaras dengan dasar penubuhannya dalam memberi sokongan terhadap aktiviti penyelidikan dan perkembangan.

Ia diharap akan dapat menjadi sumber rujukan yang sangat relevan kepada para sarjana dan orang ramai dalam mengkaji dan memahami perkembangan negara kita sebagai sebuah negara berdaulat penuh selama 30 tahun yang telah berjaya menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang di samping mampu mengatasi sebarang cabaran dan halangan.

Atur cara majlis pelancaran berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei, Yang Berhormat Pehin Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Selepas pelancaran buku berkenaan, majlis diteruskan lagi dengan resensi mengenai buku berkenaan oleh seorang penggemar sejarah yang juga aktif dalam menulis artikel mengenai sejarah Brunei iaitu Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Dasar dan Strategik, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Ini diikuti dengan penyampaian sumbangan buku yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada beberapa buah perpustakaan dan beberapa buah institusi pengajian tinggi di negara ini iaitu Jabatan Mufti Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pusat Sejarah Brunei, Jabatan Muzium-Muzium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Institut Teknologi Brunei dan Politeknik Brunei.

Bagi membolehkan orang ramai untuk mendapatkan buku berkenaan sebagai koleksi peribadi, mereka bolehlah mendapatkannya di Pusat Sejarah Brunei dan Akademi Pengajian Brunei, UBD, di mana ia dijual pada harga $15 bagi buku kulit keras dan $10 bagi buku kulit nipis (soft cover).

ARTIKEL YANG SAMA