Yayasan rai ulang tahun ke-23

Yayasan rai ulang tahun ke-23

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena sambutan ulang tahun penubuhannya ke-23 tahun, yang berlangsung di Tingkat 4, Dewan Serba Guna, Yayasan, di sini.

Berangkat ke majlis itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Pengerusi II, Jemaah Tadbir Yayasan, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Hadir sama ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, para pegawai dan kakitangan Yayasan serta para guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Atur cara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena ulang tahun penubuhan Yayasan ke-23 tahun.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena ulang tahun penubuhan Yayasan ke-23 tahun.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena 23 tahun penubuhan Yayasan dan diikuti dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

Dalam kenyataannya, hari ini, Yayasan menyatakan, penubuhan Yayasan adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat serta menjadi sumber pembentukan masyarakat Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur. Pada dekad pertama penubuhannya, Yayasan telah mengusahakan pelbagai rancangan projek dan aktiviti selaras dengan dasar serta tujuan penubuhannya yang meliputi bidang agama, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan kewangan.

Usaha telah dilipatgandakan pada dekad kedua melalui inisiatif baru dalam menghadapi keadaan demografi dan sosioekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar, dan kini pada dekad ketiga Yayasan terus merancang dan mengambil langkah proaktif dan inovatif yang bersesuaian bagi meningkatkan pencapaian rancangan, projek dan aktivitinya. Menurut kenyataan itu lagi, Yayasan akan terus menghulurkan bantuan yang sesuai kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selaras dengan visinya ‘Meningkatkan Kualiti Hidup serta Menuju Ke Arah Kecemerlangan Sosiobudaya dan Sosioekonomi’.

Yayasan juga akan memastikan segala bentuk bantuan dan perkhidmatan yang dihulurkan serta projek yang dilaksanakan adalah terancang, terarah dan menepati kumpulan sasaran demi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA