Yayasan Sabah sumbang hampir RM1b bantu rakyat

Yayasan Sabah sumbang hampir RM1b bantu rakyat

KOTA KINABALU, 9 Mei (Bernama) – Sejak ditubuhkan pada 1966, Yayasan Sabah telah menyumbangkan hampir RM1 bilion bagi membiayai pelbagai program untuk rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata sumbangan berkenaan termasuk membiayai pelbagai program pendidikan, kebajikan, kemudahan prasarana dan khidmat kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Peruntukan yang dibelanjakan itu adalah bertujuan untuk memajukan negeri ini, khususnya melalui pembangunan modal insan. Oleh itu Yayasan Sabah telah memberikan bantuan seperti sumbangan biasiswa, kebajikan, kesihatan dan penyediaan asrama untuk pelajar di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan ulang tahun Yayasan Sabah ke-50 dan melancarkan buku ulang tahun ke-50 yayasan itu serta duit syiling sempena sambutan ulang tahun ke-50 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata Yayasan Sabah akan terus memberi bantuan kepada rakyat di negeri ini dengan mengikut peredaran masa.

“Usaha Yayasan Sabah dalam membantu rakyat berubah mengikut peredaran masa kerana evolusi itu penting bagi memastikan usaha itu (membantu rakyat) sentiasa bersesuaian dengan kehendak, dan situasi semasa,” katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-50 Yayasan Sabah, Musa berkata Yayasan Sabah telah berkembang dengan cemerlang sejak penubuhannya dengan mencipta pelbagai kejayaan untuk membantu rakyat di negeri ini.

ARTIKEL YANG SAMA