Yayasan teruskan projek amal di Temburong

Yayasan teruskan projek amal di Temburong

Oleh Sim Y. H.

 

TEMBURONG, 13 Julai – Dengan hasrat untuk menyuntik rasa keceriaan dan untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang bagi keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) meneruskan lawatan kerja Projek Amal sempena bulan Ramadan dengan mengendalikan pengagihan sumbangan berbentuk keperluan asasi dan makanan di beberapa buah kampung di Daerah Temburong, hari ini.

Rombongan lawatan kerja Projek Amal berkenaan diketuai oleh Menteri Pembangunan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Semasa lawatan itu, sumbangan telah disampaikan kepada 21 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di beberapa buah kampung di Daerah Temburong di mana mereka telah dikenal pasti melalui kerjasama Yayasan dan Jabatan Daerah Temburong.

Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada salah seorang penerima di Temburong.
Yang Berhormat Pehin menghulurkan bantuan kepada salah seorang penerima di Temburong.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai semasa lawatan kerja Projek Amal Sempena Ramadan yang diadakan di Daerah Temburong, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai semasa lawatan kerja Projek Amal Sempena Ramadan yang diadakan di Daerah Temburong, kelmarin.

Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan itu bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga berkenaan dalam menyediakan keperluan keluarga dalam bulan Ramadan di samping dihasratkan bagi menyuntik rasa keceriaan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam kesempatan itu juga, Yayasan turut memberikan sumbangan berupa kelengkapan jenazah kepada Surau Kampung Piasau-Piasau di mana sumbangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi diterima oleh Imam Surau Kampung Piasau-Piasau, Awang Mohd Zin bin Haji Kulla.

Projek seumpama itu telah bermula di Daerah Tutong sebelum menjelangnya Ramadan dan diikuti dengan Daerah Belait dan Daerah Brunei Muara semasa bulan Ramadan ini.

Projek di Daerah Temburong itu dikendalikan dengan kerjasama rakan strategik Yayasan iaitu Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam (4WD NBD) yang menyediakan pengangkutan.

ARTIKEL YANG SAMA