YBR beri bantuan awal persekolahan

KOTA MARUDU, 12 Feb – Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan memberi bantuan awal persekolahan berupa RM100 setiap seorang kepada 250 murid dari 16 kawasan Parlimen terpilih di seluruh negara tahun ini.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah YBR Saiful Yazan Sulaiman berkata bantuan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yayasan itu akan dkreditkan ke akaun simpanan Bank Rakyat murid masing-masing di samping turut menerima beg sekolah.

“Selain itu, kita juga memberi RM1,440 kepada 10 sekolah terpilih di Kota Marudu untuk mengadakan kelas tambahan kepada pelajar menerusi Program Tuition Rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis penyampaian Program Bantuan Awal Persekolahan dan Tuition Rakyat YBR di Kota Marudu di sini hari ini.

Saiful Yazan berkata untuk program masa panjang, YBR mengadakan Program Didik Rakyat di sekolah terpilih di Sabah, yang mana yayasan itu telah membelanjakan kira-kira RM180,000 untuk menjayakan program itu sepanjang tahun lepas.

Saiful Yazan Sulaiman bersama penerima bantuan sempena Program Bantuan Persekolahan dan Tuisyen Rakyat anjuran Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan Kota Marudu kelmarin. – Bernama

Selain itu, beliau berkata YBR turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menjayakan Projek Bola Sepak Tujuh Sebelah dan Satu Murid Satu Sukan tahun ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda berkata hubungan baik di antara YBR dan kerajaan membolehkan institusi itu melaksanakan CSR dengan lebih berkesan, khususnya di kawasan luar bandar.

“CSR sebegini amat bererti terutama kepada anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan.

“Beginilah kerajaan kita sekarang ini, bila kerajaan stabil, ekonomi juga stabil, maka bank juga dapat memberikan CSR terbaik kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis itu. – Bernama