YDKMM raikan 165 pelajar asnaf berbuka puasa

YDKMM raikan 165 pelajar asnaf berbuka puasa

KOTA BELUD, 17 Jun (Bernama) – Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dengan kerjasama Asian & Western Fusion Restaurant dan Cha Wang Besar meraikan 165 pelajar asnaf Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said dalam satu majlis berbuka puasa malam tadi.

Melalui program yang dinamakan ‘Special Iftar for Asnaf’ berkenaan, pelajar-pelajar dijamu dengan ‘Rice Omelette Chicken Chop Special’ dari Asian & Western Restaurant dan air teh hijau dari Cha Wang Besar sebagai menu berbuka puasa mereka.

“Dengan misi membahagiakan umat, untuk Sabah, Special Iftar for Asnaf di sini merupakan kali keempat dijalankan selepas di Papar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Keningau. Program yang sama akan diteruskan di Labuan, Putatan dan beberapa buah daerah lagi,” menurut YDKMM dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, selain di Sabah, program dengan moto ‘Realisasikan Ramadan, Kongsikan Kebahagiaan’ itu turut dijalankan serentak di Perak dan Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.