YDP Sarawak hadiri majlis Gawai Raya 2016

YDP Sarawak hadiri majlis Gawai Raya 2016

KUCHING, 28 Julai – Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem serta isteri masing-masing hari ini menghadiri Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2016 anjuran Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Majlis berlangsung di Dewan Santapan, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang lama di Petra Jaya di sini, tengah hari ini.

Majlis ‘dua dalam satu’ bertema “Segulai Sejalai, Seiring Sejalan” itu diadakan bersempena sambutan Gawai Dayak pada 1 Jun lalu dan Aidilfitri pada 6 Julai lepas. Turut hadir menteri-menteri Kabinet negeri, ketua-ketua masyarakat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyambut ulang tahun ke-61 pada hari ini turut diraikan. Majlis turut diserikan dengan persembahan beberapa artis tempatan termasuk penyanyi veteran kaum Bidayuh Rachmon Allan Morshidi. – Bernama