Yellow Cab Pizza Co. dirasmi

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Yellow Cab Pizza Co. yang diinspirasikan New York, telah membuka kedai utamanya di Brunei dengan perasmiannya berlangsung hari ini di Kompleks Shakirin, Kiulap.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Francais Yellow Cab Pizza Co. Brunei dipegang oleh YTT Sdn Bhd yang turut memegang francais bagi Malaysia Timur dengan rancangan mereka untuk menembusi pasaran di Sarawak, Sabah dan Labuan dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Pengerusi YTT Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Harun bin Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya telah menjelaskan perjalanan mereka dalam membawakan francais dari Filipina itu ke Brunei.

Katanya, ia bermula dengan tiga orang sekawan yang berpeluang mencuba hidangan Yellow Cab Pizza Co. semasa di luar negara dan menyukainya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa hadir pada Majlis Perasmian Restoran Yellow Cab Pizza Co. yang terletak di Kiulap.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa hadir pada Majlis Perasmian Restoran Yellow Cab Pizza Co. yang terletak di Kiulap.

Mereka telah berunding dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yellow Cab Pizza Co. dan Group Max, Peter King mengenai bagaimana mereka boleh membawa salah satu makanan ikonik terbaik New York ke Brunei.

“Tiga orang sekawan ini langsung tidak mempunyai pengalaman dalam industri pemakanan tetapi ini bukanlah halangan buat mereka. Mereka membawa dua orang kawan yang lain untuk menyertai perniagaan ini, yang juga tidak ada pengalaman dalam perniagaan makanan dan terima kasih kepada pandangan jauh Peter, beliau membenarkan lima orang baru dalam perniagaan ini untuk memasuki perniagaan ini,” jelas Dato Paduka Haji Harun.

Beliau seterusnya menekankan bahawa ia merupakan 10 bulan yang panjang dengan membelanjakan banyak sumber tetapi dengan semangat yang tinggi dan kuat, mereka akhirnya dapat membawakan francais ini dan membuka kedai utama mereka.

Sebagai salah satu tanggungjawab korporat kepada negara, mereka juga membawa rakan-rakan dari Filipina untuk membantu anak Brunei menghadapi cabaran menjalankan francais.

“Kami percaya bahawa adalah tanggungjawab kami untuk menyokong pengambilan pekerja muda Brunei untuk menaikkan pangkat dan membantu menyediakan pekerjaan yang baik di sini, di Brunei Darussalam,” ujarnya.

Pengerusi YTT turut mendedahkan bahawa YTT juga telah menandatangani perjanjian dengan Yellow Cab Pizza Co. untuk francais di Labuan, Sabah dan Sarawak, dan “Insya-Allah akan menjadi pengendali francais pertama yang bermula dari Brunei Darussalam dan kemudian berkembang ke luar negara.”

Ditubuhkan pada tahun 2001, Yellow Cab Pizza Co. pakar dalam penghasilan piza gaya New York yang terkenal menggunakan bahan-bahan premium, topping dan piza yang segar serta agak hangus di bahagian bawah, padat dan kenyal di tengah, dan sedikit melekit di atas.

Bersempena pembukaan kedai pertamanya di Brunei, Yellow Cab Pizza Co. menawarkan promosi istimewa untuk pelanggan yang datang pada hari ini dan esok (12 Ogos) dari jam 7 malam hingga 9 malam, iaitu beli satu piza 10 inci pelanggan boleh membeli piza kedua 10 inci pada harga $1 sahaja.