YPS, OGDC anjur Cabaran IET

YPS, OGDC anjur Cabaran IET

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 April – Dengan tujuan untuk memberikan peluang membuat penyelidikan, reka bentuk dan penyelesaian prototaip ke atas masalah kejuruteraan, Bahagian IET Profesional Muda Brunei (YPS) dan Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah menjalankan Cabaran IET Faraday Do-It-Yourself ‘Mission to Mars’ bagi pelajar Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan yang berusia 15 tahun ke bawah (Tahun 7 hingga 9).

Cabaran ini, sejajar dengan wawasan IET Brunei dan misinya dalam menggalakkan kemajuan sains, kejuruteraan dan teknologi secara umum dan untuk mempermudah pertukaran maklumat serta idea mengenai subjek berkenaan kepada orang ramai terutamanya pelajar.

Cabaran Misi ke Marikh yang telah berlangsung Sabtu lalu, di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan itu disertai 36 orang peserta yang dibahagikan kepada enam pasukan, dengan enam orang pelajar Tahun 7 dan 8 bagi satu pasukan.

Para peserta telah diberikan tugasan sebagai pakar jurutera yang direkrut oleh syarikat olok-olok, yang dinamakan ‘Make it 2 Mars’ untuk mewujudkan penempatan manusia di Planet Marikh menjelang 2023.

Pemenang Cabaran IET, pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima hadiah sejumlah $120 beserta sijil.
Pemenang Cabaran IET, pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menerima hadiah sejumlah $120 beserta sijil.

Mereka juga diarahkan untuk mereka bentuk dan membina sebuah roket yang akan menjadi pengangkutan bekalan melalui orbit bumi untuk angkasawan di Marikh, serta membina satu sistem untuk mengangkut roket mereka ke tapak pelancaran bagi ujian.

Kesemua latihan memberikan gambaran kepada pelajar mengenai peranan dan tanggungjawab pasukan kejuruteraan kerana mereka bukan sahaja cuba untuk mencipta prototaip tetapi kemudian terpaksa mewajarkan idea-idea mereka, kos dan pelan perlaksanaan kepada hakim-hakim, selain juga menggalakkan pembangunan penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan kemahiran komunikasi pelajar.

Pemenang pertandingan berkenaan telah menerima hadiah wang tunai sejumlah $120 beserta sijil yang telah disampaikan oleh Naib Pengetua IET Brunei Darussalam sesi 2014-2016, Leftenan Kolonel (U) Schufin bin Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA