YSEALI dapat bangunkan kepimpinan belia

YSEALI dapat bangunkan kepimpinan belia

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Jillian Childress, Felo Pengurusan Kerajaan Setempat Penganalisis Pengurusan, Persatuan Pengurus Bandar Antarabangsa (ICMA), Bandar Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) merupakan peserta pertama dari AS yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam melalui Program Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

Beliau berada di negara ini selama dua minggu bermula 20 Februari lalu sehingga 5 Mac ini.

Semasa sesi media yang berlangsung di Starbucks Mabohai, hari ini, Jillian berpendapat bahawa Brunei merupakan sebuah negara yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong lain.

Menurut beliau, Program YSEALI sangat penting dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pelbagai budaya yang ada di negara-negara lain.

“Kedatangan saya di sini telah membuat saya terfikir bahawa hanya segelintir orang sahaja yang tahu akan kesedaran budaya yang ada di Brunei. Saya berharap akan dapat membawa kesedaran kebudayaan ini ke Amerika Syarikat dan tempat lain.”

Awang Aziman bersama Jillian bergambar bersama.
Awang Aziman bersama Jillian bergambar bersama.

Beliau juga melahirkan perasaan sangat teruja untuk mempelajari struktur kerajaan yang telah ditetapkan dan melihat sendiri perbezaan dan persamaan yang ada di antara Brunei dan AS, di samping memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak kerajaan untuk membangunkan negara ke arah lebih maju pada masa hadapan.

“Kunjungan saya ini juga memberikan saya peluang untuk membincangkan hal-hal semasa bersama para pemimpin dan belia-belia muda dalam persatuan-persatuan yang ada di sini dan antara kenangan yang terbaik saya pernah lalui adalah semasa kunjungan ke iCentre di mana saya melihat sendiri pusat tersebut begitu fokus untuk meningkatkan penggunaan teknologi,” ujarnya.

Hari ini, Jullian juga berkesempatan untuk berkunjung ke Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang menurutnya begitu menarik perhatian, di mana sekolah itu berusaha untuk menjadi sebuah sekolah yang mesra alam.

Selain itu, beliau turut berkesempatan untuk menyaksikan Sambutan Ulang Tahun Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun di ibu negara, baru-baru ini.

Lawatan melalui Program YSEALI ini telah memberikan beliau banyak pengetahuan tentang budaya-budaya tersendiri di setiap daerah yang ada di negara ini di samping mempelajari dengan lebih dekat cara-cara pembangunan di setiap daerah.

Manakala itu, Felo Profesional YSEALI, Awang Aziman Nasir selaku hos Program YSEALI di Brunei pula menjelaskan, program ini turut memberikan beliau ilmu pengetahuan yang mendalam dalam mempelajari negara sendiri.

Menurutnya, program ini memberikan beliau pelbagai peluang untuk berkunjung ke sektor-sektor kerajaan, sekolah, pihak-pihak berkepentingan dan menyaksikan sendiri bagaimana fungsi di setiap kerajaan dan sektor swasta di samping berkongsi ilmu pengetahuan sesama sendiri.

Terdapat dua perkumpulan yang disediakan di bawah YSEALI iaitu Perkumpulan Akademik YSEALI bagi para pelajar berusia 18 hingga 25 tahun, dan Perkumpulan Profesional YSEALI bagi profesional berusia 25 hingga 35 tahun.

Menurut kenyataan yang diberikan, Program YSEALI bertujuan untuk mengukuhkan pembangunan kepimpinan dan rangkaian di Asia Tenggara.

Menerusi pelbagai program dan penglibatan termasuk pertukaran pendidikan dan kebudayaan AS, pertukaran-pertukaran serantau dan pembiayaan, YSEALI bermatlamat untuk membangunkan keupayaan-keupayaan kepimpinan belia di rantau ini, mengukuhkan hubungan di antara AS dan Asia Tenggara serta memupuk komuniti ASEAN.Ia memfokuskan terhadap topik-topik yang dikenal pasti oleh belia di rantau ini, seperti alam sekitar dan pengurusan sumber asli, penglibatan awam, perusahaan dan perkembangan ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA