Ysern dipecat

Ysern dipecat

PARIS, 5 Feb – Pengarah Persekutuan Tenis Perancis (FFT) Gilbert Ysern (gambar), yang juga Pengarah Terbuka Perancis mengesahkan dia dipecat daripada jawatannya, semalam.

“Ia sangat kejam,” kata Ysern yang memberitahu dia diminta meninggalkan premis persekutuan itu pada pagi semalam oleh pegawai yang rapat kepada Presiden FFT, Jean Gachassin.

Ysern, 59, mengatakan keputusan itu dilakukan berikutan berlakunya perbezaan pendapat dalam beberapa minggu ini dengan kepimpinan persekutuan itu.

“Saya mengganggu orang lain tetapi tiada apa yang saya lakukan memalukan diri sendiri,” kata Ysern, yang menduduki jawatan di FFT sejak 2008, di mana dia mengetuai projek menaik taraf Roland Garros.

Gachassin beberapa kali mengkritik Ysern dalam temubual terbaru akhbar Perancis, L’Equipe, mengatakan yang dia teragak-agak untuk memecatnya pada November lalu.

pg23_160206_a

“Hari ini agak tegang antara kami. Saya menghormati kedudukannya. Dia pula mestilah hormati saya,” kata Gachassin.

“Pemimpin memberi arahan dan pegawai melaksanakan keputusan itu,” kata Gachassin yang merujuk kepada masalah komunikasi ketika membuang Arnaud Clement selaku kapten pasukan Perancis di Piala Davis.

Hubungan mereka kembali tegang baru-baru ini susulan satu laporan pengurusan persekutuan itu kepada Menteri Sukan.

Ysern memberitahu AFP dia menjadi calon untuk menggantikan Jean -Pierre Hugues sebagai pengarah Liga Bola Sepak Profesional.

“Saya menolaknya dengan mengatakan saya memberi komitmen kepada FFT.” – AFP