YSHHB kendali program ‘Breakfast for School’

YSHHB kendali program ‘Breakfast for School’

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Buat julung-julung kalinya Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan disokong dua buah syarikat tempatan mengendalikan program ‘Breakfast for School’ dengan membekalkan sarapan pagi untuk pelajar-pelajar sekolah terpilih.

Di bawah projek rintis itu, seramai 200 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dari empat buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara akan dibekalkan hidangan sup tajaan Royal Brunei Catering Sdn Bhd (RBC) dan hidangan roti dan ban tajaan Gardenia Food Industries Sdn Bhd, sebanyak dua kali seminggu.

Pelajar-pelajar yang terpilih terdiri daripada 100 orang pelajar Sekolah Menengah Awang Semaun, 50 orang pelajar Sekolah Menengah Masin, 40 orang pelajar Sekolah Rendah Lumapas dan 10 orang pelajar dari Sekolah Rendah Junjungan.

Persatuan Empat Roda Brunei Darussalam dan ahli-ahlinya secara sukarela akan mengambil dan menghantar makanan (sarapan pagi) daripada pihak pembekal kepada sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti.

Sehubungan itu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Program ‘Breakfast for School’ berlangsung hari ini, di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks YSHHB, di ibu negara.

Pengarah Urusan YSHHB ketika hadir di Majlis Penandatangan MoU tersebut.
Pengarah Urusan YSHHB ketika hadir di Majlis Penandatangan MoU tersebut.

Menandatangani memorandum persefahaman itu ialah Penolong Pengarah Urusan YSHHB, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa; Penolong Pengarah/Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar bagi mewakili Jabatan Sekolah-sekolah; Pengurus Am bagi mewakili RBC; Pengarah JWPK Holdings bagi mewakili Gardenia Food Industry Brunei, Awang Wong Kah Ho; dan Yang Di-Pertua bagi Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam, Haji Ibrahim bin Haji Awang Damit.

Hadir menyaksikan penandatangan tersebut ialah Pengarah Urusan YSHHB, Haji Brahim bin Haji Ismail dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Bahagian Korporat), Kementerian Pendidikan, Haji Aziz bin Haji Nayan.

Menurut Hajah Donnaliza, di bawah projek perintis ini, pihak Yayasan akan membekalkan makanan pada dua hari seminggu sahaja dan ia akan diperluaskan ke tempat-tempat lain, sekiranya ia berjalan dengan lancar, berkesan dan mendatangkan manfaat dan impak yang besar.

Katanya, projek sarapan pagi ini dihasratkan untuk membantu pelajar-pelajar memastikan mereka mempunyai perut yang dialaskan makanan yang berkhasiat pada pagi sebelum mereka memulakan persekolahan.

ARTIKEL YANG SAMA