YSHHB manifestasi teknologi

YSHHB manifestasi teknologi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Sekolah YSHHB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Dalam usaha untuk memupuk kefahaman yang mendalam tentang penggunaan teknologi semasa pembelajaran dan pengajaran dalam Abad ke-21, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) buat julung-julung kalinya telah mengadakan acara ‘Microsoft Educator Exchange (E2) Live Streaming’ dari Budapest, Hungary dengan sokongan Microsoft (B) Sdn Bhd yang berlangsung di sekolah berkenaan.

Semasa acara tersebut, dua orang guru dari sekolah itu yang diiktiraf sebagai Pendidik Pakar Inovatif Microsoft (MIEEs), Hidayatallah Waqiyudin Haji Mohiddin dan Betsaida S. Ruiz telah menyampaikan taklimat mengenai Windows 10.

Dalam taklimat berkenaan, kedua-dua mereka antara lain menyentuh mengenai bagaimana penggunaan Windows 10 dapat memberikan kemudahan yang lebih baik semasa pembelajaran dengan menggabungkan teknologi dan pelajar yang celik digital.

Gambar ramai para peserta yang menyertai taklimat.
Gambar ramai para peserta yang menyertai taklimat.

Sebagai MIEEs, mereka merupakan sebahagian daripada komuniti profesional yang diiktiraf sebagai pengguna teknologi masa kini dalam memacu transformasi dan kecekapan seluruh sekolah khususnya dalam meningkatkan penggunaan dalam Abad ke-21.

Pengurus Negara Microsoft Brunei, Haniza Zakariya, dalam kenyataan yang diberikan, menyeru semua sekolah kerajaan di Brunei untuk mencontohi amalan terbaik daripada Sekolah Yayasan ini.

Sesi taklimat ini diharap akan dapat memberikan inspirasi kepada semua warga pendidik untuk berkongsi dan membincangkan mengenai cara-cara untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan inovatif dengan penyelesaian Microsoft.

ARTIKEL YANG SAMA