Yuan China melemah namun kekal stabil

Yuan China melemah namun kekal stabil

BEIJING, 7 Jan – Kadar pariti pusat mata wang China, renminbi atau yuan, merosot kepada titik paling lemah dalam hampir lima tahun, kata Agensi Berita Xinhua hari ini.

Kadar pariti pusat yuan kehilangan 332 mata asas kepada 6.5646 berbanding dolar US, paras terendah sejak 18 Mac, 2011, kata agensi itu yang memetik data yang dikeluarkan oleh Sistem Perdagangan Pertukaran Asing China (CFETS).

Pada penghujung 2015, indeks komposit kadar pertukaran CFETS yang mengukur kekuatan yuan relatif dengan sekumpulan 13 mata wang asing, berada pada 100.94 peratus dan 0.94 peratus daripada tahun sebelum ini.

Di pasaran tukaran asing China, yuan dibenarkan untuk naik atau turun sebanyak dua peratus daripada kadar pariti pusat pada setiap urus niaga harian.

Kadar pariti pusat yuan berbanding dolar US ditentukan pada purata wajaran harga yang ditawarkan oleh pembuat pasaran sebelum pembukaan pasaran antara bank pada setiap hari perniagaan.

Seorang pekerja bank mengira wang kerta 100 yuan (AS$15) di sebuah bank di Lianyungang, wilayah Jiangsu di timur China. - AFP
Seorang pekerja bank mengira wang kerta 100 yuan (AS$15) di sebuah bank di Lianyungang, wilayah Jiangsu di timur China. – AFP

Bank pusat China pula menegaskan negara itu mampu untuk mengekalkan yuan ‘pada asas stabil di tahap keseimbangan yang munasabah’ meskipun terdapat ‘kuasa spekulasi’.

Jaminan oleh People’s Bank of China (PBOC) itu dibuat selepas kadar persamaan pusat mata wang itu turun 332 mata asas kepada 6.5646 berbanding dolar AS pada Khamis, demikian lapor Xinhua News Agency.

Xinhua berkata kadar pertukaran renminbi sepatutnya seiring dengan kuasa pasaran yang mana permintaan dan penawaran pertukaran asing berasaskan ekonomi sebenar, dan bukannya kuasa spekulasi menggunakan leveraj berlebihan.

“Sesetengah kuasa berusaha untuk meraih keuntungan daripada membuat spekulasi ke atas renminbi. Dagangan seperti ini tidak berkaitan dengan permintaan ekonomi sebenar dan tidak mencerminkan permintaan dan penawaran pasaran sebenar, yang hanya membawa kepada turun naik luar biasa dalam kadar pertukaran yuan dan memberikan isyarat yang salah kepada pasaran.

“Berdepan dengan kuasa spekulasi, bank pusat mempunyai keupayaan untuk mengekalkan yuan pada paras stabil di tahap keseimbangan yang munasabah,” Xinhua memetik satu artikel yang disiarkan di laman web PBOC.

Renminbi akan mengikuti perubahan permintaan dan penawaran dalam pasaran dan kadar pertukarannya akan berubah dalam kedua-dua hala tuju itu, kata bank tersebut.

Selain keazaman bank pusat untuk mengekalkan kestabilan yuan, PBOC berkata keadaan ekonomi yang kukuh juga menyokong mata wang itu untuk kekal secara asasnya stabil.

“Walaupun pertumbuhan eksport China turun tahun lepas, bahagian eksport negara dalam pasaran global masih meningkat. Tidak perlu bagi China untuk merancakkan eksport dan menstabilkan pertumbuhan menerusi penurunan nilai mata wang kompetitif,” kata bank itu. – Bernama