Yusuf dipukul sehingga cacat selama 10 bulan

Yusuf dipukul sehingga cacat selama 10 bulan

BUTTERWORTH, 1 Jun – “Yusuf dipukul sampai cacat ketika berada di kem dalam hutan sebelum dibebaskan selepas suami saya bayar RM2,000 kepada ejen,” kata Rokiah Abdul Hamid, 26, wanita Rohingya yang menetap di negara ini.

Beliau berkata Yusuf Abdul Majid, 17, ditinggalkan di tepi jalan di Alor Setar oleh sindiket yang membawa masuk remaja Rohingya itu ke negara ini selepas suami Rokiah membayar wang yang diminta untuk menyelamatkan Yusof.

Yusuf, yang baru dua bulan diselamatkan dan kini tinggal bersama keluarga Rokiah di sini, tidak boleh berbahasa Melayu. Remaja yang dahulunya dikatakan sihat dan sempurna itu kini lumpuh.

Rokiah yang dilahirkan di negara ini, berkata atas dasar kemanusiaan dan simpati, suaminya membayar wang yang diminta ejen untuk menyelamatkanYusof yang dikatakan tidak mempunyai saudara mara di sini, selepas ibu Yusuf meminta pertolongan mereka.

“Dia (Yusuf) dibawa ke Siam, lepas tu dia orang bawa ke Malaysia…kalau yang ada saudara (di sini) dia orang (sindiket) ambil RM6,000 atau RM7,000.

“Kalau yang tak ada saudara atau orang nak tolong bayarkan, dia orang mati kat sana…ada yang dijual, perempuan di tempat pelacuran, yang laki-laki dijual kepada kapal tangkap ikan di Siam,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sebuah perkampungan yang menempatkan ramai rakyat Myanmar keturunan Rohingya di sini.

Beliau berkata Yusuf ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan lemah dan tidak boleh berjalan.

“Sepuluh bulan dia dalam hutan, dia dipukul sampai cacat. Dia orang tak bagi tahu yang dia (Yusuf) sudah cacat…kalau tak ada orang nak ambil, dia orang tak bagi makanan, dekat hutan dia orang simpan tak bagi jalan,” katanya.

Beliau berkata semua urusan untuk menyelamatkan Yusuf dibuat melalui telefon dan bayaran dibuat melalui bank.

“Selepas bayaran dibuat, dia orang cakap tempat tu ada lu punya orang, lu orang pergi ambil,” katanya.

Seorang lagi remaja Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia, Mohamad Salim Huson Ahmad, 16, berkata beliau nekad meninggalkan kampung kelahirannya kerana kehidupan di sana amat susah.

ARTIKEL YANG SAMA