Zahid Hamidi lawat India

Zahid Hamidi lawat India

NEW DELHI, 17 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan kerja tiga hari bertujuan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Ahmad Zahid dan rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi selepas menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 selama dua hari di Ulaanbaatar, Mongolia, yang bermula Jumaat.

Ketibaan Ahmad Zahid dan rombongan pada 12.40 tengah hari waktu tempatan disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India Datuk Naimun Ashakli Mohammad dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia dalam cuaca redup dengan suhu 27 darjah Celsius.

Ahmad Zahid dijadualkan mengadakan mesyuarat pramajlis dengan anggota delegasi Malaysia sebelum menghadiri majlis jamuan malam yang dihoskan Naimun di kediamannya di sini Ahad.

Lawatan sulung Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ke India ini dianggap penting dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama dua hala Malaysia-India dalam pelbagai bidang dan isu kepentingan bersama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di hotel penginapannya hari ini. Zahid berada di New Delhi untuk lawatan kerja selama tiga hari dan ini merupakan lawatan pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di hotel penginapannya hari ini. Zahid berada di New Delhi untuk lawatan kerja selama tiga hari dan ini merupakan lawatan pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Bernama

Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengunjungi Perdana Menteri India Narendra Modi pada Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau dari India, Rajnath Singh, pada hari sama.

Jadual ketat menunggu Ahmad Zahid pada hari terakhir lawatan beliau (Selasa), termasuk menerima kunjungan hormat Menteri Industri Negeri Telengana, K.T Rama Rao, sebelum mengadakan mesyuarat dengan Menteri Hal Ehwal Luar India Sushma Swaraj dan Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval.

Ahmad Zahid dijadual mengakhiri jadual kunjungan beliau dengan melawat Pusat Pemprosesan Visa Global VFS di Istana Nehru.

Beliau kemudian dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi untuk melakukan lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka pada Khamis. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA