Zainal Mustapa, Nur Iridina muncul juara musabaqah Al-Quran

Zainal Mustapa, Nur Iridina muncul juara musabaqah Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Sempena Sambutan memperingati Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram 2016, Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam menganjurkan Pertandingan Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Arab dan Sekolah-Sekolah Ugama Senegara.

Pada peringkat akhir yang berlangsung di Studio 4, Bangunan Radio dan Televisyen Brunei, Kampung Sungai Akar, baru-baru ini, johan qari telah disandang oleh Awang Zainal Mustapa bin Jaludin dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kilanas dan bahagian qariah dijuarai Dayang Nur Iridina binti Sarudin dari Sekolah Persediaan Arab Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Seramai empat orang qari dan empat orang qariah yang terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah arab Tahun 7 hingga 9 serta penuntut-penuntut sekolah agama Darjah 5 dan 6, memperdengarkan bacaan masing-masing dalam pertandingan akhir berkenaan.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bergambar ramai dengan para peserta Musabaqah, jemaah hakim dan para jemputan khas yang lain.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bergambar ramai dengan para peserta Musabaqah, jemaah hakim dan para jemputan khas yang lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, tarikh 26 Jun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram.

Tema universal sempena Hari Antarabangsa Dadah Haram tahun ini adalah ‘Listen First’, yang memfokuskan kepada kanak-kanak dan belia sebagai langkah pertama untuk membantu mereka membesar dengan sihat dan selamat daripada gejala-gejala negatif.

Di Negara Brunei Darussalam, tema kebangsaan yang dipilih adalah ‘Al-Quran Benteng Ancaman Dadah’ kerana amalan membaca Al-Quran merupakan benteng utama yang akan menuntun umat Islam ke arah kesempurnaan hidup dengan mendapat rahmat dan syafaat daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

BKN dalam kenyataannya turut melahirkan harapan agar amalan membaca Al-Quran dapat menanamkan nilai murni kepada golongan muda kita sebagai benteng terhadap anasir-anasir negatif dan pada masa yang sama, dapat membantu mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA