Zakat dan wakaf berpotensi atasi masalah ekonomi ummah

Zakat dan wakaf berpotensi atasi masalah ekonomi ummah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Perekonomian Islam mampu menjadi mekanisme yang boleh meningkatkan taraf kehidupan dan juga pembangunan kesejahteraan ummah, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

“Dalam perekonomian Islam, zakat dan wakaf merupakan salah satu strategi yang berpotensi tinggi dalam mengatasi masalah perekonomian umat,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini.

Menurut beliau lagi, perekonomian khususnya ekonomi Islam merupakan platform penting dalam mewujudkan masyarakat cemerlang dan ia juga mampu menjadi penyelesaian kepada permasalahan dan krisis ekonomi, kerana sistem yang diterapkan dalam ekonomi syariah bukan hanya setakat mementingkan keuntungan material semata-mata, bahkan ia mementingkan kestabilan, keharmonian dan kemantapan hidup bermasyarakat.

“Dengan zakat, insya Allah kita akan mampu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam keberkatan. Di samping itu, kita juga akan dapat memberikan jaminan sosial kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang amat memerlukan.”

Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan ucapannya.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan ucapannya.
Sebahagian daripada peserta Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami di KUPU SB, kelmarin.
Sebahagian daripada peserta Seminar Antarabangsa Pendidikan Syariah Fiqh Al-Iqtisad Al-Islami di KUPU SB, kelmarin.

Wakaf pula, jelasnya, merupakan instrumen dalam ekonomi Islam yang menjadi wasilah kepada pengagihan semula kekayaan yang dimiliki bagi tujuan meningkatkan dan memacu ekonomi negara dan ummah.

Sehubungan itu, Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyeru agar pelbagai usaha dilakukan dalam meningkatkan kefahaman akademik mahasiswa dan masyarakat tentang kedua-duanya bagi memperkasa pengelolaan kedua-dua bidang ini dalam menyelesaikan persoalan sosioekonomi sesuai dengan ‘Maqhasid Syariah’.

Dalam masa yang sama, kefahaman yang dibina melalui pendidikan formal dan informal akan mendorong kesedaran bagi pengelolaan yang profesional seterusnya akan melahirkan kemampuan untuk meningkatkan taraf hidup yang mapan dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga menyeru kepada pihak penganjur dan institusi pengajian tinggi (IPT) pendidikan di negara ini untuk berperanan dalam memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat dan sudah tentu juga kepada warga IPT tentang konsep zakat dan wakaf menurut perspektif Islam dan potensi yang boleh dimanfaatkan daripada kedua-dua instrumen tersebut.

“Saya yakin dengan adanya penjelasan yang mantap dan jitu, sudah setentunya akan memberikan impak yang besar, bukan sahaja daripada aspek penghayatan dan amalan secara meluas, bahkan juga merangkumi aspek pelaksanaan dan pengurusan.”

Sementara itu, Dekan Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, seminar dua hari itu, yang membawa tema ‘Menjana Ekonomi Islam Melalui Zakat dan Wakaf’ itu adalah bersempena dengan Sambutan Konvokesyen KUPU SB ke-5.

Sebanyak 26 kertas kerja dibentangkan oleh pelbagai ahli profesional antaranya ahli-ahli akademik dari universiti dalam dan luar negara, institusi dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengenai pendidikan, pembangunan dan pengurusan zakat dan wakaf.

Penganjuran seminar bertujuan untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan zakat dan wakaf di peringkat negara dan global, di samping mengongsi sama pengalaman tentang pengelolaan zakat dan wakaf secara teori dan praktikal.

Selain itu, seminar yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan, mahasiswa mahasiswi IPT serta orang awam itu juga bertujuan untuk membentangkan idea-idea yang bersangkut paut dengan isu-isu pendidikan mengenai zakat dan wakaf.

ARTIKEL YANG SAMA