‘Zaman serba sensitif’

‘Zaman serba sensitif’

Oleh Osman Abu Bakar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Pada hari ini, semua orang dibayangi oleh isu sensitif, kita boleh juga menamakan zaman ini sebagai ‘zaman serba sensitif’, segala-galanya hendak kena jaga, terutama dalam perbuatan dan percakapan.

Paling susah lagi, perkara benar pun kadang-kadang menjadi isu sensitif, dianggap tidak bagus atau berniat jahat, kerana itu apa yang buruk akan tinggal buruk, yang salah akan terus salah disebabkan tidak ada orang yang mahu membuka mulut untuk membetulkannya di samping orang takut kalau membuka mulut akan menjadi satu kesalahan.

Perkara tersebut diluahkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (gambar) ketika menyampaikan Kuliah Subuh Bersama Mufti di Masjid Haji Abdul ’Azim, Kampung Luagan Duduk, Daerah Tutong hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Begitulah senario hari ini. Semua orang dibayangi oleh isu sensitif, tidak kira suami dengan isteri, ibu bapa dengan anak-anak pun sudah terikat dengan isu sensitif. Tidak boleh lagi berlebih kurang, tidak ada lagi amalan berterus terang di antara mereka,” kata Yang Berhormat Pehin.

Menurutnya, dalam kalangan yang lebih umum lagi lebih payah, penerimaan orang terhadap teguran dan nasihat adalah tidak sama; ada yang menerimanya dengan baik, dengan sepenuh hati, ada juga yang separuh-separuh malah yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri pun ada.

pg01_160123_a

Satu golongan lagi, katanya, ialah orang yang tidak mahu mendengar dan menerima langsung sesuatu nasihat, malah mengambil sikap, semua nasihat itu, apapun bentuknya adalah nistaan, celaan, tuduhan dan serangan belaka terhadap orang-orang yang diberi nasihat.

“Mereka tidak mengiktirafnya sebagai nasihat tetapi menganggapnya semata-mata sebagai celaan dan serangan”.

Semua ini, katanya, benar-benar berlaku dalam masyarakat, kerana itu tidak pelik kalau ada ibu bapa yang mengeluh, anak-anak mereka tidak mendengar cakap, atau anak-anak itu melawan mereka, atau ada juga yang sampai berpatah arang dengan ibu bapa sebagai protes terhadap nasihat yang pernah diberikan oleh ibu bapa itu.

Demikian pula, tegasnya, masyarakat umum, tidak kurang terdapat mereka yang bersikap anti nasihat, kerana nasihat itu tidak dianggap nasihat melainkan semata-mata celaan, umpatan dan serangan peribadi.

Menurut beliau lagi, penerimaan manusia terhadap nasihat tidak sama, malah memang lebih ramai yang menolak nasihat daripada yang menerimanya dan kerana sejarah manusia memang dipenuhi oleh mereka yang menolak nasihat maka kita tidak perlu terlalu kecewa.

Cuma atas nama kasih sayang, atas nama dakwah yang dituntut oleh Allah supaya disampaikan, tegasnya, kita berkewajipan mesti menyampaikan nasihat itu.

Katanya lagi, ibu bapa wajib bangun memberi nasihat kepada anak-anak kerana anak-anak itu adalah amanah Allah yang wajib dijaga, dipelihara sebaik mungkin dan tidak boleh diabaikan. Sedikit berlaku pengabaian bererti mencuaikan amanah itu, dari itu keperluan mereka hendaklah benar-benar dipastikan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, keperluan untuk anak-anak itu ada dua, iaitu keperluan jasmani seperti makan minum, pakaian, kemudahan, hiburan dan lain-lain, manakala kedua adalah keperluan rohani iaitu asuhannya, pendidikan dan sekolahnya.

”Keperluan jasmani mudah sahaja, dapat mengadakan makan minum, pakaian dan kemudahan, cukup, cuma perlu ditambah turut dijaga ialah kehalalannya. Itu sahaja. Tetapi keperluan rohani adalah lebih besar cabarannya. Memerlukan pengasuh, pendidik, guru dan sekolah; apa benda asuhan itu; dan jadual atau period asuhan yang disampaikan,” tegasnya.

Menurut ulama dan ahli pendidik, katanya, guru mesti berperanan sebagai pembimbing dan bukan mengajar saja-saja. Guru mustahak melihatkan kepada murid-muridnya apa yang dia buat, seperti sembahyang di hadapan murid-murid atau menjadi imam kepada murid-murid, kerana itu, mustahak ada period sembahyang Zohor misalnya di sekolah, supaya nampak kepimpinan guru itu kepada murid-murid dalam beragama.

“Ini kepentingan peranan pengasuh atau guru atau pendidik atau sekolah itu. Kalau sukan, melukis dan muzik ada periodnya, mengapa ‘period’ sembahyang tidak ada? Mana lebih mustahak, sukan, melukis dan muzik ataupun sembahyang?” soal Yang Berhormat Pehin.

Kemudian, beliau menegaskan, sukatan pelajaran perlu terdapat subjek-subjek membina jiwa yang sihat, bukan membina jiwa tidak sihat.

“Ingat, jiwa itu juga adalah dibina. Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam sebelum membina bangunan, Baginda adalah lebih dahulu membina jiwa. Membinanya dengan Tauhid.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, kita orang Islam memerlukan apa sahaja bidang ilmu, kita memerlukan ilmu bahasa, ilmu matematik, ilmu sains dan seumpamanya, tetapi perlu diingat, ia sahaja tidak mampu membina jiwa, yang mampu itu, katanya hanya ilmu berkenaan akhirat dan inilah asas yang perlu awal-awal ditanam dan tumbuh mendahului lain-lain ilmu.

Maksud kita, tegasnya, ialah pendidikan agama adalah wajib dan mesti ada kerana hanya dengan pendidikan agama itu sahaja jiwa rohani akan dapat dibina, diisi dengan Tauhid, dengan Islam dan Iman.

“Alhamdulillah, kita boleh menarik nafas lega, kerana negara kita sekarang mempunyai sistem dan dasar pendidikan ‘wajib agama’. Ini adalah rezeki untuk Brunei. Sayugia jangan ada yang menolaknya. Menolak ini, sama maknanya kita menolak rezeki dan rahmat Allah,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengajak kita untuk sama-sama berpesan dan menasihati diri masing-masing dengan nasihat-nasihat yang baik, supaya kekal dalam kebajikan, jangan takut dan rimas kepada nasihat dan jangan anggap orang yang memberi nasihat itu musuh.

Nasihat itu, tambah beliau, tinggi nilainya dan Nabi Shallallahu ’Alaihi Wasallam bersabda bahawa agama itu adalah nasihat, jadi tidak ada alasan untuk merendah-rendahkan nasihat dan nasihat adalah tetap tinggi dan berharga.

ARTIKEL YANG SAMA