Zaqhwan Catat Masa Terpantas di ARRC

Zaqhwan Catat Masa Terpantas di ARRC

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Pelumba Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi (gambar) menamatkan tiga hari sesi ujian pramusim Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dengan mencatat masa terpantas di Litar Pasir Gudang, Johor, semalam.

Pelumba pasukan MUSASHi Boon Siew Honda itu merakamkan masa satu minit 31.112 saat pada hari terakhir sesi ujian itu, sekali gus memintas rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzman.

Azlan Shah, pelumba pasukan BikeART Kawasaki Racing, yang menguasai sesi ujian dua hari pertama dalam kategori SuperSports 600c, menduduki tempat kedua dengan catatan masa 1’31.616s.

Pelumba Jepun, Tomoyoshi Koyama daripada pasukan T.Pro Yuzy Honda NTS mencatat masa ketiga terpantas dengan 1’31.773s. Mengenai catatan terpantas itu, Mohd Zaqhwan berkata beliau agak terkejut dengan pencapaian itu memandangkan pelumba lain turut memperagakan aksi yang membanggakan.

pg22_160326_b

“Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana proses perlumbaan pembuka tirai akan bermula. Paling menarik kategori SuperSports 600cc kini menggunakan tayar licin sepenuhnya tahun ini.

“Saya benar-benar suka ciri-ciri tayar ini dan bagaimana ia membantu meningkatkan prestasi saya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh promoter ARRC, Two Wheels Motor Racing Sdn. Bhd.

Dalam perkembangan lain, Litar Pasir Gudang kembali semula dalam kalendar ARRC musim ini selepas menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij di Asia itu buat kali pertama pada 2007.

Litar sepanjang 3.86km itu akan menghoskan perlumbaan pembuka tirai musim pada 1 dan 2 April ini.

ARTIKEL YANG SAMA