Zenit benam Lyon 3-1

Zenit benam Lyon 3-1

SAINT PETERSBURG, 21 Okt – Zenit St Petersburg semakin menghampiri peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara semalam selepas menang 3-1 ke atas Lyon dalam persaingan Kumpulan H.

Artem Dzyuba meneruskan rentak menariknya dengan jaringan mengagumkan apabila meletakkan Zenit di depan selepas hanya tiga minit di Stadion Petrovskiy.

Lyon menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat menerusi Alexandre Lacazette tetapi Hulk mengamuk dengan ledakan jarak jauh untuk memulihkan pendahuluan Zenit.

Danny kemudian mengakhiri apa-apa harapan untuk kemunculan semula Lyon pada minit ke-83 apabila pemain Andre Villas-Boas mencatat kemenangan ketiga untuk mengukuhkan kedudukan di bahagian atas kumpulan.

“Ia satu kemenangan yang hebat. Ia adalah perlawanan yang benar-benar sukar menentang Lyon dan saya gembira,” kata jurulatih Zenit Villas-Boas. “Lain kali kami akan pergi ke Lyon dan pasti akan menjadi perlawanan sukar seperti mana kami menghadapi kesukaran di sini.”

Pemain Zenit, Miguel Danny (kanan) dan Axel Witsel (kiri) mengucapkan tahniah kepada Hulk selepas pemain dari Brazil itu menjaringkan gol semasa menentang Olympique Lyon di stadium Petrovsky di St. Petersburg, semalam. – AFP
Pemain Zenit, Miguel Danny (kanan) dan Axel Witsel (kiri) mengucapkan tahniah kepada Hulk selepas pemain dari Brazil itu menjaringkan gol semasa menentang Olympique Lyon di stadium Petrovsky di St. Petersburg, semalam. – AFP

Beliau menambah: “Dalam liga (Rusia) kami telah membuat kesilapan kerana satu pasukan menyebabkan kami bolos gol dan kehilangan mata. Dalam Liga Juara-Juara, kami tidak membuat kesilapan sama. Itulah perbezaannya.”

Zenit tiga mata di depan Valencia di tangga kedua yang menewaskan Gent 2-1 dalam satu lagi perlawanan semalam untuk meninggalkan Lyon dan Gent dengan satu mata menyebabkan impian Eropah mereka semakin pudar.

Lyon tumbang pada malam yang sejuk di St Petersburg selepas tuan rumah awal-awal lagi berjaya merobek gawang apabila Oleg Shatov bergandingan dengan Dzyuba menewaskan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes untuk gol keenam dalam tujuh penampilan terakhirnya untuk kelab dan negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA