Zenit benam Rubin 4-1

Zenit benam Rubin 4-1

MOSCOW, 20 Sept – Zenit Saint Petersburg menjaringkan tiga kali dalam masa yang dekat apabila mereka membenam pasukan pelawat Rubin Kazan 4-1 dalam pertembungan Liga Perdana Rusia untuk bergerak ke tangga ketiga.

Domenico Criscito, Robert Mak, perancang Brazil Giuliano dan Artem Dzyuba kesemuanya menjaringkan buat pasukan tuan rumah sebelum Rubin menjaringkan gol sagu hati melalui pemain Brazil Jonathas.

Zenit, yang telah merekodkan 12 jaringan dalam tiga perlawanan liga mereka, sekarang empat mata di belakang pendahulu Spartak Moscow dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya begitu bimbang menjelang perlawanan ini kerana saya tidak begitu pasti anak-anak didik saya mampu untuk beraksi dengan baik berikutan perlawanan Liga Europa dan perjalanan pulang yang jauh,” pengurus Zenit Mircea Lucescu berkata.

“Nasib baik, semuanya berkesudahan baik buat kami. Saya gembira kami bermain dengan penuh yakin dan kelihatan begitu bagus di sepanjang perlawanan. Saya percaya kami boleh menjaringkan lebih banyak jaringan lagi malam itu.”

Zenit, yang baru pulang dari kempen kejayaan Liga Europa mereka Khamis lepas apabila berjaya mengejar dari kedudukan 0-3 untuk menewaskan hos Maccabi Tel Aviv 4-3, mendominasi dalam stadium yang memuatkan 21,000 pemerhati.

Pemain dari Itali Criscito menempatkan Zenit di depan 1-0 dengan sepakan penalti pada minit ke-16 selepas bekas pemain sayap Chelsea Yury Zhirkov dijatuhkan di petak penalti.

Selepas waktu rehat Zenit meningkatkan gear dan Mak, Giuliano dan Dzyuba menjaringkan gol dalam ruang 10 minit untuk memberikan Zenit kedudukan selesa 4-0.

Jonathas memperoleh gol sagu hatinya dengan masa perlawanan berbaki empat minit. – AFP