Zenit juara Piala Super

Zenit juara Piala Super

SAINT PETERSBURG, 13 Julai (AFP) – Juara Rusia Zenit St Petersburg menewaskan penyandang kejuaraan Lokomotiv Moscow 4-2 menerusi penentuan penalti selepas final Piala Super berakhir 1-1 selepas masa tambahan semalam.

“Kami mengadakan sesi latihan pra-musim yang singkat untuk memberikan pemain antarabangsa kami lebih banyak masa untuk berehat,” kata pengurus Zenit Andre Villas-Boas.

“Itulah sebabnya kami gagal mempamerkan aksi terbaik hari ini kerana terlalu banyak kesilapan. Tetapi saya fikir kami pasukan yang lebih baik hari ini terutama dalam separuh masa kedua.”

Penyerang Senegal Baye Oumar Niasse meletakkan Lokomotiv 1-0 pada minit ke-28 apabila berjaya menewaskan penjaga gol Zenit Yury Lodygin dengan rembatan rendah dari luar kawasan penalti.

Tetapi pada minit ke-83 Zenit menyamakan kedudukan apabila Axel Witsel mengetuk bola hasil sepakan percuma Hulk ke sebelah kanan Igor Smolnikov yang menjaringkan gol menerusi tandukan jarak dekat.

Pemain Zenit bergambar bersama Piala Super Rusia selepas menewaskan Lokomotiv Moscow di stadium Petrovsky di St. Petersburg semalam. – AFP
Pemain Zenit bergambar bersama Piala Super Rusia selepas menewaskan Lokomotiv Moscow di stadium Petrovsky di St. Petersburg semalam. – AFP

Masa tambahan gagal menghasilkan pemenang dan dalam penentuan penalti, Zenit mengambil kesempatan apabila Hulk menjaringkan sepakan awal manakala penyerang Lokomotiv Maxim Grigoriev menggegar palang. Oleg Shatov memberikan Lokomotiv peluang menyamakan kedudukan tetapi rembatannya terkena tiang. Tendangan lemah kapten pasukan Lokomotiv Vedran Corluka pula lurus menuju Lodygin sebelum Domenico Criscito menjaringkan gol kemenangan Zenit.