Zeti dianugerahkan keanggotaan sepanjang hayat AICB

Zeti dianugerahkan keanggotaan sepanjang hayat AICB

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) – Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dianugerahi keanggotaan sepanjang hayat Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB) pada majlis penganugerahan bank bertauliah pertama, di sini.

Keanggotaan itu dianugerah secara bersama oleh AICB dan Institut Bank Bertauliah (CBI).

Dalam ucapan penerimaannya, Zeti menyifatkan peluang yang diberi kepadanya untuk menyumbang dalam pembangunan sistem kewangan negara, serta kestabilan kewangan dan ekonomi makro, sebagai satu penghormatan.

“Ia satu pengalaman yang amat berharga memandangkan perkembangan keseluruhan dan kemajuan sistem kewangan serta industri perkhidmatan kewangan terus diiringi pertumbuhan dan kestabilan,” katanya.

Sebanyak 45 ahli perbankan Malaysia menjadi kumpulan pertama dianugerahi kelayakan perbankan tertinggi pada majlis itu. Penerima merangkumi nama-nama gah dalam sistem perbankan Malaysia.

Zeti menerima anugerah daripada Pengerusi AICB yang juga Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim, yang sebelum itu menerima anugerah Felo daripada Naib Presiden Kanan CBI, Robert Dickie. Daripada 45 ahli perbankan bertauliah, 15 termasuk Azman dianugerahi gelaran Felo ‘Chartered Banker’ berdasarkan tempoh keanggotaan mereka dalam AICB serta pengalaman luas dalam industri.

Timbalan Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias, Pengerusi RHB Bank Bhd Tan Sri Azlan Mohd Zainol, dan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Khazanah Datuk Charon Wardini Mokhzani adalah antara 15 penerima berkenaan.

Dalam ucapan penerimaannya, Azman menggambarkan peranan ahli perbankan bertauliah sebagai memprofesionalkan dan mendidik komuniti perbankan ketika “kita bergerak ke arah era baharu dalam perbankan”.

Azman yang juga mengetuai 45 orang penerima mengangkat sumpah tatalaku profesional sebagai satu komitmen kepada industri.

AICB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Bank-bank Malaysia (IBBM) merupakan satu badan tadbir urus profesional terhadap industri perbankan dan perkhidmatan kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA