Ziarah keluarga hidupkan suasana raya

Ziarah keluarga hidupkan suasana raya

Oleh Sahama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Suasana kemeriahan, keriuhan dan gurau senda cucu dan cicit amat terasa bagi seorang datuk apa lagi apabila rumahnya dikunjungi pada Hari Raya Aidilfitri.

Suasana ini amat dirasai oleh salah seorang warga emas iaitu Haji Asgar bin Othman; salah seorang penduduk jati Kampung Tamoi Ujong, yang kini berusia 84 tahun, bersama isterinya Hajah Kamsiah @ Salmah binti Metassan yang juga penduduk jati kampung berkenaan.

Beliau amat berbesar hati apatah lagi kunjungan tersebut adalah daripada anak-anak, menantu dan lebih 70 orang cucu serta 30 orang cicit daripada 17 orang anak-anak beliau memeriahkan suasana rumahnya.

Menurut beliau, suasana menyambut Hari Raya di Kampong Ayer  dalam tahun 50an jauh bezanya dengan suasana Hari Raya zaman sekarang.

Zaman dahulu tidak ada istilah rumah terbuka atau ‘open house’.  Minuman yang dihidangkan pada masa dahulu hanyalah kopi atau teh sementara kuih-muih yang dihidangkan adalah seperti kuih baulu, kuih cincin, kuih sapit, kuih cacah dan sebagainya.

Gambar kenangan Haji Asgar bersama keluarganya.
Gambar kenangan Haji Asgar bersama keluarganya.

Para tetamu akan duduk di atas tikar mengkuang sambil menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah.

Walau bagaimanapun, hari raya yang disambut tetap meriah kerana konsep yang diterapkan pada zaman dahulu ialah mengeratkan silaturahim dan berkenal-kenalan dengan saudara-mara terutama saudara yang jauh supaya anak cucu keturunan tahu akan susur galur hubungan persaudaraan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA