Ziarah makam Almarhum Teja, Tok Temong

Ziarah makam Almarhum Teja, Tok Temong

GOPENG, 8 Mei (Bernama) – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat menziarahi makam Raja Bendahara Alang Iskandar yang juga dikenali sebagai ‘Almarhum Teja’ di Kuala Teja, Kota Bharu di sini, hari ini bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Istiadat itu dimulakan dengan tahlil dan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kampar, Ustaz Mohd Paisal Abdul Rahim.

Sultan Nazrin Shah kemudian menyiram air mawar dan menaburkan bunga di makam itu.

Almarhum Teja ialah putera Raja Kechil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah.

Semasa kekanda baginda, Raja Ngah Jaafar diangkat menjadi Sultan Ja’afar Muazzam Shah (1857-1865), Raja Alang Iskandar dilantik menjadi Bendahara Perak.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menziarahi makam Tok Temong di Kati sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV hari ini.
– Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menziarahi makam Tok Temong di Kati sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV hari ini.
– Bernama

Baginda bersemayam di Kuala Keboi, Kampar. Tidak lama kemudian, baginda mangkat di Kuala Teja, Kota Bharu di sini.

Almarhum Teja dilantik menjadi Bendahara Perak oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, Sultan Perak ke-22, yang berkerajaan di Durian Sebatang, Teluk Intan.

Apabila Almarhum Teja mangkat, tempat baginda digantikan oleh Raja Ismail Saiyed Syeikh Al-Khairat iaitu Raja Siak.

Pagi tadi, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim berangkat menziarahi makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.

Tok Temong atau nama asalnya Tok Perabu adalah pembesar wanita yang berkuasa memerintah Temong di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549).