Ziarah tanah perkuburan pupuk keinsafan

Ziarah tanah perkuburan pupuk keinsafan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Amalan menziarahi kubur merupakan perkara lazim yang dilakukan oleh umat Islam di negara ini pada hari-hari tertentu dan pada bulan Ramadan yang biasanya diadakan dalam kumpulan kaum keluarga yang lebih ramai.

Ziarah ke kubur akan menjadi semakin bertambah semasa pagi Hari Raya Aidilfitri nanti.

Amalan itu sudah menjadi lumrah masyarakat Islam bagi memperingati ahli keluarga yang telah pergi di samping memanjatkan doa agar roh mereka mendapat curahan rahmat daripada Allah S.W.T.

Pada hakikatnya, ia juga tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal saja tapi digalakkan berziarah ke tanah perkuburan pada bila-bila masa sahaja.

Amalan yang mulia ini sesungguhnya boleh membawa keinsafan, mengingatkan diri akan kematian dan mengagungkan kekuasaan Allah S.W.T.

Ahli keluarga dan sahabat handai ketika membaca Surah Yasin dan Tahlil di tanah perkuburan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.
Ahli keluarga dan sahabat handai ketika membaca Surah Yasin dan Tahlil di tanah perkuburan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah.

Sementara itu, salah seorang yang menziarahi tanah perkuburan turut mengongsikan pendapatnya mengenai menziarahi tanah perkuburan secara berkumpulan atau beramai-ramai itu sudah menjadi kebiasaan mereka pada setiap bulan Ramadan dan Syawal.

Menziarahi tanah perkuburan pada waktu itu akan dipenuhi oleh ahli keluarga dan sahabat handai pada minggu pertama Ramadan di mana membersihkan tanah perkuburan dijalankan secara bergotong-royong dan seterusnya membaca Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai.

Dalam menziarahi tanah perkuburan, agama Islam telah menggariskan beberapa panduan dan adab-adab ziarah kubur itu antaranya ialah kita disunatkan untuk berwuduk sebelum menziarahi kubur dan memakai pakaian yang sopan serta menutup aurat.

Selain itu juga, adalah disunatkan untuk memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dan afdal dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi serta tidak berbual-bual kosong.

Disunatkan juga untuk memberi sedekah dan diniatkan kepada ahli kubur supaya pahala akan sampai kepada penghuni kubur tersebut.

Semasa menziarahi tanah perkuburan, haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan sebagainya.