Zico tanding jawatan Presiden FIFA

Zico tanding jawatan Presiden FIFA

RIO DE JANEIRO, 11 Jun (AFP) – Legenda bola sepak Brazil, Zico mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menggantikan Sepp Blatter sekalipun percaya kelebihan tidak berpihak kepadanya.

Bekas perancang lincah berusia 62 tahun itu berkata ‘sudah ada kemungkinan untuk perubahan’ terhadap badan induk itu selepas presiden, Sepp Blatter mengumumkan peletakan jawatannya, minggu lalu.

Tindakan mengejutkan Blatter yang hadir beberapa hari selepas dia dilantik semula sebagai presiden dilihat disebabkan tekanan terhadap siasatan rasuah dan sogokan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland kian meningkat sehingga membabitkan hak penganjuran Piala Dunia edisi 2010, 2018 dan 2022.

“Saya mahu mengesahkan keputusan ini mengenai kemungkinan untuk menjadi calon bagi pemilihan FIFA selepas ini,” kata Zico dalam satu sidang media di Rio de Janeiro.

“Saya rasa mampu untuk melakukannya. Sudah tentu perubahan peraturan mengenai permainan ini perlu. Ia kerana dengan peraturan yang sedia ada tidak ada sedikitpun kemungkinan (untuk dipilih).”

Zico tersenyum semasa mengadakan sidang akhbar di Rio de Janeiro semalam. – AFP
Zico tersenyum semasa mengadakan sidang akhbar di Rio de Janeiro semalam. – AFP

FIFA, semalam berkata Jawatankuasa Eksekutifnya akan bersidang bulan depan bagi memilih tarikh pemilihan itu.

Kesemua 209 ahli gabungan FIFA akan mengundi bagi memilih Presiden baharu dengan calon pilihan antaranya bos Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini.

Untuk layak bertanding jawatan presiden, seseorang calon itu memerlukan sokongan daripada lima persatuan negara.

Zico sebelum ini antara pengkritik kuat Blatter yang dikatakan terlalu lama memegang jawatan selepas mengambil alih tugas Joao Havelange.

“Saya berusia 62 tahun dan seingat saya hanya dua presiden dalam FIFA sebelum ini iaitu Joao Havelange dan Blatter. Hanya dua orang ini yang memerintah dunia bola sepak? Ia tidak boleh diterima,” katanya.

Dianggap antara pemain tengah terbaik dunia ketika era kegemilangannya, Zico beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia bersama Brazil iaitu 1978, 1982 dan 1986 namun gagal menjulang trofi keagungan bola sepak itu.

Sebagai jurulatih, Zico pernah membimbing kelab-kelab di Turki, Greece, Russia, Uzbekistan, India selain skuad kebangsaan Iraq dan Jepun.