Zico tetap tawar diri tanding Presiden FIFA

Zico tetap tawar diri tanding Presiden FIFA

RIO DE JANEIRO, 29 Julai (AFP) – Legenda bola sepak Brazil, Zico secara rasmi sudah meminta Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) untuk mengemukakan namanya sebagai calon Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menggantikan Sepp Blatter.

Namun, Zico, 62, yang sebelum ini tidak mendapat sokongan kuat dari pihak pengurusan atasan CBF berkata, beliau tetap menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu badan bola sepak dunia itu meskipun tidak mendapat sokongan CBF.

“Pilihan pertama adalah seperti ini, saya seorang rakyat Brazil, saya memberi perkhidmatan kepada pasukan Brazil selama 10 tahun,” kata Zico kepada laman web sukan Globo Esporte.

“Saya sudah menghantar surat kepada presiden (CBF)… menyatakan mengapa saya menawarkan diri untuk bertanding dan kini saya menunggu surat jawapan untuk mengetahui sama ada dia mahu menerima atau tidak.

Zico secara rasmi sudah meminta CBF untuk mengemukakan namanya sebagai calon Presiden FIFA. – Reuters
Zico secara rasmi sudah meminta CBF untuk mengemukakan namanya sebagai calon Presiden FIFA. – Reuters

“Tapi saya tidak mahu menunggu lama kerana masa berlalu pantas dan kami mempunyai pilihan yang lain,” katanya.

Blatter mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri pada 2 Jun lalu, sebaik memenangi pemilihan jawatan Presiden FIFA untuk penggal kelima ketika dibelenggu dengan tuduhan terbabit dengan skandal rasuah.

Pada minggu lalu, Blatter mengumumkan pemilihan penggantinya akan diadakan pada 26 Februari 2016.