Zidane dapat sokongan Ronaldo

Zidane dapat sokongan Ronaldo

MADRID, 19 Jan – Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo memberi sokongannya kepada jurulatih baharu, Zinedine Zidane selepas membantu gergasi bola sepak Sepanyol itu melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Sporting Gijon dalam saingan La Liga, semalam.

Real telah mempamer aksi positif apabila mencatat dua kemenangan besar ketika berada di bawah bimbingan Zidane selepas sebelum ini menewaskan Deportivo La Coruna 5-0.

Malah, Ronaldo turut memberitahu, kebanyakan pemain lebih selesa dengan jurulatih baharu yang lebih dikenali sebagai ‘Zizou’ berbanding pengendali sebelum ini, Rafael Benitez.

“Secara jujurnya ada sesetengah jurulatih yang lebih memahami antara satu sama dengan yang lain. Itulah kebenarannya. Jangan tanya saya kenapa kerana semua pemain lebih selesa dengan Zizou.

Cristiano Ronaldo memberi sokongannya kepada Zidane selepas membantu Real melakar kemenangan besar ke atas Sporting Gijon. - AFP
Cristiano Ronaldo memberi sokongannya kepada Zidane selepas membantu Real melakar kemenangan besar ke atas Sporting Gijon. – AFP

“Saya tidak pernah mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Rafa kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik kepada Madrid, namun caranya berbeza jika dibandingkan dengan Zizou,” kata Ronaldo.

Kehadiran Zidane dianggap sebagai wira buat penyokong Real, malah membuatkan kem Bernabeu lebih ceria selain menambah motivasi dalam kalangan pemain.

Kata Ronaldo, pemenang Piala Dunia 1998 itu telah memberikan semangat baharu kepada pemain dan membuatkan kebanyakan mereka teruja untuk beraksi sepanjang musim.

“Dia (Zidane) adalah seorang yang tenang dan serius ketika melakukan tugasannya. Dia amat memahami pemain dan saya sangat teruja dengan kehadirannya dalam masa sama sedia bekerja keras bersamanya,” kata Ronaldo. – Reuters