Zidane ganti Benitez?

Zidane ganti Benitez?

MADRID, 25 Nov (Agensi) – Penyokong Real Madrid menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan melambaikan sapu tangan putih sebagai simbolik ucapan selamat tinggal diiringi ejekan. Perbuatan itu adalah mesej jelas kepada jurulatih Rafa Benitez: ‘Tiba masanya untuk anda berundur’.

Presiden Madrid, Florentino Perez berkata, keadaan itu tidak akan berlaku sekarang, namun Benitez kini mengharungi detik sukar setelah dimalukan dengan kekalahan 4-0 kepada Barcelona di hadapan penyokong sendiri di Stadium Santiago Bernabeu Sabtu lalu.

Satu lagi kekalahan bermakna titik penamat kepada jurulatih itu, tanpa mengambil kira apa pun yang dikatakan oleh presiden kelab.

Media Sepanyol sudah pun membincangkan penggantian Benitaz, dengan nama teratas adalah Zinedine Zidane, legenda Perancis, yang kini melatih pasukan B Madrid, Castilla dalam divisyen tiga.

Walaupun Zidane menegaskan dia tidak mahu tergesa-gesa untuk dinaikkan pangkat, namun namanya akan disebut setiap kali Madrid gagal mendapatkan kemenangan.

Zidane (kiri) mengungguli senarai individu yang paling layak menggantikan Benitez (kanan), menurut perbincangan media di Sepanyol. – Reuters
Zidane (kiri) mengungguli senarai individu yang paling layak menggantikan Benitez (kanan), menurut perbincangan media di Sepanyol. – Reuters

“Saya sekarang mengendalikan Castilla. Benitez merupakan jurulatih skuad utama dan semua berjalan lancar ketika ini. Perjalanan saya masih jauh lagi,” kata bekas pemain berusia 43 tahun itu kepada media Sepanyol.

Sesetengah penyokong juga mahu jurulatih dari Itali, Carlos Ancelotti, yang membantu pasukan itu memenangi Kejuaraan Eropah ke-10 dua musim lepas, mengendalikan semula Madrid. Terdapat juga laporan bahawa Fabio Capello, yang ketika ini tiada kerja, turut dipertimbangkan.

Untuk memastikan presiden memihak kepadanya, Benitez perlu mencari jalan untuk mengembalikan Madrid ke landasan yang betul.

“Kita semua harus bertanggungjawab dan perlu bersatu dalam usaha memenangi perlawanan seterusnya sekali gus menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong. Namun perkara itu tidak dapat dilaksanakan ketika berhadapan dengan Barcelona.

“Kita perlu menerima keputusan ini dan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya secepat mungkin,” kata jurulatih berusia 55 itu.

Semuanya berjalan dengan baik untuk Benitez sehinggalah dua minggu lalu, apabila Madrid kalah kali pertama dalam liga di Sevilla. Madrid telah menerajui liga dan menang sembilan perlawanan dengan mudah walaupun dilanda masalah kecederaan bintang-bintang utamanya.

Mereka mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-juara ketika masih berbaki dua perlawanan, dan kelihatan mampu menjadi juara kumpulan, di hadapan Paris Saint-Germain.

Benitez mempertahankan dirinya dengan mengingatkan mengenai masalah-masalah dihadapi pasukan itu musim ini.

Antara pemain-pemain utamanya yang cedera pada awal musim adalah Keylor Navas, Sergio Ramos, James Rodriguez, Gareth Bale dan Karim Benzema. Perlawanan dengan Barcelona hanyalah kali kedua Benitez mendapat kesemua pemain utamanya.