Zidane hadapi ujian terbesar

Zidane hadapi ujian terbesar

MADRID, 8 Mac (AFP) – Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane bersiap sedia menghadapi perlawanan terbesarnya sejak mengendalikan gergasi Sepanyol itu dengan memburu tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara menentang AS Roma, esok.

Real membawa bekalan selesa 2-0 daripada aksi pertama di ibu negara Itali itu tiga minggu lalu, tetapi memiliki ruang yang kecil untuk melakukan sebarang kesilapan.

Liga Juara-Juara menjanjikan satu-satunya peluang untuk mereka menyambar trofi pada musim ini selepas mengharungi kempen domestik yang buruk.

“Bagi saya, ia adalah perlawanan terpenting kerana ia menawarkan kami peluang yang seterusnya,” kata Zidane.

“Satu-satunya perkara yang harus kami lakukan esok adalah memenangi perlawanan dengan fokus kami kini hanya untuk perlawanan itu. Ramai orang fikir ia akan menjadi perlawanan yang mudah tetapi tidak bagi saya.”

Zidane tersenyum semasa meninggalkan sidang akhbar menjelang perlawanan kedua pusingan 16 terakhir menentang AS Roma di Madrid, semalam. – Reuters
Zidane tersenyum semasa meninggalkan sidang akhbar menjelang perlawanan kedua pusingan 16 terakhir menentang AS Roma di Madrid, semalam. – Reuters

Pandangan bekas legenda Perancis itu tampak benar, dengan Roma mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir Serie A sejak kepulangan pengendalinya, Luciano Spaletti pada Januari lalu untuk mengemudi mereka ke tangga ketiga liga.

Spaletti percaya barisan pemainnya mampu merakam keputusan ‘mustahil’ selepas mengambil kira kekalahan 4-3 Real kepada Schalke pada peringkat sama musim lalu meskipun membawa bekalan selesa 2-0 dari Jerman sebelum itu.

Cristiano Ronaldo dijangka kembali bergandingan dengan Gareth Bale selepas pemain sayap Wales itu menjaringkan gol ketika dibawa masuk dari bangku simpanan menentang Celta Vigo iaitu penampilan pertamanya dalam tempoh enam minggu berikutan kecederaan betis.

Luka Modric, Toni Kroos dan Marcelo juga dikhabarkan bakal membarisi kesebelasan utama selepas dilihat kembali menjalani latihan semalam.