Zidane intai mahkota Eropah

Zidane intai mahkota Eropah

MADRID, 9 Mac (AFP) – Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane menegaskan dia gembira ketika pasukannya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara biarpun menerima ancaman hebat dari AS Roma sebelum mencatatkan kemenangan 4-0 melalui agregat.

Madrid menempah tempat dalam lapan kelompok pasukan terakhir menerusi dua jaringan empat minit sebelum tamat pada separuh masa kedua hasil jaringan Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez untuk melengkapkan kemenangan 2-0 pada perlawanan di Santiago Bernabeu.

Roma bagaimanapun terlepas beberapa peluang untuk kembali dalam persaingan ketika Mohamed Salah terlepas dua peluang ketika hanya berdepan Keylor Navas, sementara itu Edin Dzeko juga melepaskan peluangnya lebih awal.

“Kami cuba untuk melakukan serangan tanpa memikirkan keputusan perlawanan pertama,” kata Zidane, biarpun faktanya pasukannya mendahului 2-0 dari pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan di Rom tiga minggu lalu.

“Kami melepaskan beberapa peluang yang menakutkan tetapi apabila anda melepaskan peluang, anda berdepan risiko. Bagaimanapun, perkara paling penting bagi kami adalah menggunakan bola dengan cara terbaik. Saya gembira dengan cara kami melakukan serangan dan saya rasa kami meningkat pada separuh masa kedua.

“Sekarang kami perlu memikirkan perlawanan liga kami seterusnya dan menanti dan melihat pasukan akan dihadapi seterusnya (dalam Liga Juara-Juara). Semua orang mengimpikan memenangi Liga Juara-Juara dan kami juga memburunya.

Gareth Bale membuat aksi pertamanya dalam tempoh enam minggu dan menyerlah lebih awal ketika diberikan peluang untuk beraksi dari kiri bersama Ronaldo di tengah semasa ketiadaan Karim Benzema yang mengalami kecederaan.

ARTIKEL YANG SAMA