Zidane kekal positif

Zidane kekal positif

MADRID, 12 April (AFP) – Jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane menegaskan dia kekal positif betapa pasukannya mampu bangkit mengatasi defisit 2-0 sekali gus menewaskan Wolfburg untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, esok.

Real perlu melupakan kekecewaan tewas pada suku akhir pertama, namun Zidane tetap menegaskan mereka juga harus menerapkan kesabaran tatkala satu gol membocori gawang mereka bakal menyebabkan Cristiano Ronaldo dan rakan perlu menyumbat empat gol bagi memastikan impian melangkah ke kelompok empat terbaik tercapai.

“Saya sentiasa positif dan saya sudah mencapai sesuatu ketika menjadi pemain dengan falsafah itu,” kata Zidane yang menjaringkan gol kemenangan buat Real pada final Liga Juara-Juara 2012.

“Apa yang menggembirakan ialah melihat pemain dan mereka sangat fokus ketika beraksi, jadi ia mengurangkan tekanan. Kami perlu menjaringkan gol tetapi kami mempunyai tempoh 90 minit atau lebih untuk melakukannya.”

Zidane mengadakan sidang akhbar di Valdebebas sebelum pasukannya menentang Wolfsburg, esok. – AP
Zidane mengadakan sidang akhbar di Valdebebas sebelum pasukannya menentang Wolfsburg, esok. – AP

Dalam pada itu, Zidane berharap momentum positif pasukan dalam kancah La Liga dapat diterapkan ketika perlawanan yang dijadual berlangsung di Santiago Bernabeu, lokasi di mana Real meledak 37 gol dalam sembilan perlawanan sejak dia mengambilalih tugas berkenaan Januari lalu.

“Mesejnya adalah kesabaran kerana kita semua tahu apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak,” kata Zidane. “Seperti mana La Liga – kami ketinggalan 13 mata dengan Barcelona tetapi sekarang ini kami hanya tercicir empat mata. Itu adalah perkara yang hebat dalam bola sepak.

“Kami perlu terus bersemangat, kami tidak akan menang dalam tempoh 10 atau 15 minit perlawanan. Ia akan jadi lebih sukar sekiranya mereka menjaringkan gol. Apapun boleh berlaku tetapi kami perlu kekalkan tumpuan sejak minit pertama.”