Zidane mahu Modric kerap rembat

Zidane mahu Modric kerap rembat

MADRID, 8 Feb – Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menggalakkan perancang Croatia, Luka Modric melakukan rembatan jauh lebih kerap selepas gol sulungnya dalam saingan liga musim ini membolehkan Real Madrid mencatat kemenangan 2-1 ke atas Granada.

Youssef El Arabi memadam gol pendahuluan Real Madrid yang dijaringkan Karim Benzema sebelum rembatan Modric yang menerjah penjuru gawang gol lima minit sebelum tamat perlawanan membolehkan pasukan dengan jolokan Los Blancos itu kekal empat mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

“Modric menjaringkan gol yang hebat dan membolehkan kita memenangi perlawanan sekali gus memperoleh tiga mata. Saya gembiranya untuknya kerana dia perlu kerap melakukan rembatan dari jauh.

“Dia boleh bermain di banyak posisi termasuklah di posisi nombor 10. Jadi hari ini (semalam), dia menghasilkan satu gol yang amat baik dan saya gembira dengan apa yang dia lakukan,” kata Zidane.

Apapun, kapten Madrid, Sergio Ramos, menegaskan bintang Croatia itu layak mendapat pujian walaupun dia tidak menjaringkan sebarang gol.

“Gol ini mungkin membuatkan dia sedikit menyerlah, tetapi pada pandangan saya, Modric ialah pemain yang menjadi nadi dan tulang belakang serta pemain yang penting buat pasukan ini,” katanya.

Kemenangan ini adalah kemenangan keempat dalam lima perlawanan Real di bawah kendalian Zidane.

Bagaimanapun, Real Madrid sekali lagi bergelut untuk meraih kemenangan pada aksi di tempat lawan dan hanya diselamatkan dengan ketumpulan Granada di depan gol.

“Kami perlu sentiasa bersedia kerana beraksi di laman lawan, kita menentang pasukan yang memiliki kelompok penyokong mereka yang ramai, jadi pastinya ia menyukarkan kami.

“Perlawanan yang mudah tidak pernah wujud dalam dunia bola sepak dan saya gembira pemain saya berjuang sehingga tamat perlawanan,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA