Zidane minta pemain bertenang

Zidane minta pemain bertenang

WOLFSBURG, 7 April (Reuters) – Pengendali Real Madrid Zinedine Zidane menggesa anak buahnya supaya tetap tenang selepas harapan merangkul Liga Juara Juara tercalar apabila tewas mengejut 2-0 di tangan Wolfsburg pada aksi suku akhir pertama, semalam.

Pemain Perancis yang mengambil alih tugas selaku pengendali selepas Rafael Benitez dipecat Januari lalu, percaya juara Eropah 10 kali itu mampu bangkit pada aksi kedua yang berlangsung di Madrid, minggu hadapan.

“Sungguh mengecewakan apabila tewas perlawanan Liga Juara Juara, apatah lagi melihat cara kami ditewaskan. Namun kami perlu tenang dan bersatu. Kami tidak panik kerana kami percaya meskipun berdepan perlawanan yang sukar selepas ini, kami mampu melakukannya.

Reaksi Zidane ketika pasukannya menentang Wolfsburg untuk aksi pertama Liga Juara-Juara kelmarin. – AFP
Reaksi Zidane ketika pasukannya menentang Wolfsburg untuk aksi pertama Liga Juara-Juara kelmarin. – AFP

“Buat masa ini, kami perlu berehat dan berfikir mengenai aksi kedua memandangkan kami masih lagi mempunyai peluang untuk mengubah segala-galanya,” kata Zidane yang merangkul Liga Juara Juara sebagai pemain kelab itu pada 2002.

Zidane berjaya mengubah musim bergolak Real selepas memenangi enam aksi berturut-turut dalam semua pertandingan namun mereka akhirnya tewas buat kali pertama pada saingan elit itu musim ini.

Dua gol dalam tempoh tujuh minit daripada Ricardo Rodriguez dan Maximilian Arnold membolehkan Wolfsburg selesa berkelebihan dua gol yang memberi tekanan kepada Real Madrid pada babak pertama.