Zidane pinjamkan Cheryshev ke Valencia

Zidane pinjamkan Cheryshev ke Valencia

MADRID, 2 Feb – Valencia di bawah kendalian Gary Neville melengkapkan perjanjian pinjaman untuk pemain sayap Real Madrid, Denis Cheryshev (gambar) hingga akhir musim ini, kelab itu mengesahkannya malam tadi.

“Ia adalah satu peluang yang besar bagi saya dan berharap saya mampu menangani cabaran ini,” kata pemain antarabangsa Russia itu kepada laman web Valencia.

Cheryshev hanya membuat enam penampilan untuk Real pada musim ini sejak kembali daripada tempoh pinjaman yang cemerlang di Villarreal musim lalu.

Bagaimanapun, sumbangan yang sering diperkatakan mengenainya ialah ketika menjadi faktor Real disingkirkan daripada Copa del Rey gara-gara kesilapan menyenaraikannya dalam pertembungan menentang Cadiz.

Tetapi dia sepatutnya tidak boleh beraksi kerana digantung satu perlawanan dalam kejohanan itu selepas mengutip tiga kad kuning ketika dipinjamkan ke Villareal sebelum ini.

pg20_160203_c

“Dia adalah pemain muda yang bekerja keras untuk berada dalam pasukan, tetapi dia memerlukan masa dan saya mendoakan yang terbaik buatnya,” kata pengendali Real Zinedine Zidane malam tadi.

Cheryshev muncul pemain kedua menyertai skuad Neville selepas mereka sebelum ini mengikat pertahanan Atletico, Madrid Guilherme Siqueira juga secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Valencia terus kemarau kemenangan dalam aksi La Liga sejak awal November lalu, termasuk lapan perlawanan sejak diambil alih oleh Neville, untuk dipisahkan lima mata dengan zon penyingkiran.

Bagaimanapun, mereka menempah tiket ke separuh akhir saingan Copa del Rey yang menyaksikan mereka akan membuat perhitungan dengan penyandang juara Barcelona dalam aksi pertama esok. – AFP