Zidane terbaik kendali Real – Beckham

Zidane terbaik kendali Real – Beckham

LONDON, 5 Jan (Reuters) – Bekas kapten England, David Beckham menyifatkan Zinedine Zidane individu terbaik untuk mengendalikan Real Madrid selepas kelab Sepanyol itu memecat Rafa Benitez.

“Adakah ada individu lebih baik berbanding dirinya?” soal Beckham yang pernah bermain dengan Zidane di Real selepas menyertai kelab gergasi itu dari Manchester United pada 2003 dalam posting di laman sosial Instagram miliknya hari ini.

“Dia berada pada tahap terbaik dalam sukan yang kita sayangi, mengambil alih kelab yang saya dan ramai lagi sayangi… Seorang yang memiliki semangat, keghairahan dan juga menerima kegagalan pada setiap tahap,” kata Beckham.

“Mengambil alih daripada pengurus yang memiliki pengalaman luas dan dihormati dalam permainan, namun mengambil alih jawatan yang dia akan sukai… Individu terbaik untuk jawatan itu.”

David Beckham percaya Zidane adalah individu terbaik untuk mengendalikan kelab Sepanyol itu. - Reuters
David Beckham percaya Zidane adalah individu terbaik untuk mengendalikan kelab Sepanyol itu. – Reuters

Bekas rakan sepasukan Zidane di Girondins de Bordeaux dan Perancis, Bixente Lizarazu berharap rakan karibnya itu, yang dilantik daripada pasukan Real B akan berjaya.

“Saya gembira dengannya kerana saya tahu dia sangat komited terhadap kariernya selaku jurulatih ketika ini, ia adalah pilihan tepat,” katanya kepada Radio Perancis, RTL.

“Zizou melatih Real Madrid, ia membuatkan saya memikirkan (bekas jurulatih Barcelona) Pep Guardiola… ia adalah permulaan yang sama buat Zizou dan saya harap dia akan mencipta kejayaan sama. Dia memiliki keazaman tinggi, yang melakukan perkara dengan keghairahan.”

ARTIKEL YANG SAMA