Zidane tetap ‘bangga’ walau rekod calar

Zidane tetap ‘bangga’ walau rekod calar

MADRID, 26 Jan – Bos Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan dia berbangga dengan persembahan pasukan biarpun ketinggalan di belakang Barcelona dalam persaingan gelaran La Liga selepas seri 1-1 di Real Betis Ahad lalu.

Zidane mencatatkan kejayaan dalam dua perlawanan pertama sejak menggantikan Rafael Benitez awal bulan ini selepas Real menjaringkan lima gol ke atas Deportivo la Coruna dan Sporting Gijon.

Bagaimanapun, Los Blancos dikejutkan dengan jaringan pembukaan Alvaro Cejudo dan biarpun menguasai perlawanan, tetapi hanya dapat membalas jaringan menerusi gol ke-21 Karim Benzema musim ini 19 minit sebelum tamat.

“Saya bangga dengan apa yang mereka lakukan malam ini, kami hanya terlepas dua mata,” kata pengurus dari Perancis itu. “Kami berada di laluan yang tepat dan perlu mendapatkan kedudukan yang positif.

“Jelas kehilangan dua mata adalah perkara negatif, tetapi terdapat beberapa perkara yang bagus malam ini dan kami perlu mendapatkan kedudukan yang positif dan berjuang sehingga akhir.”

Zidane (kanan) masih berbangga dengan pasukan biarpun seri 1-1 dengan Real Betis, Ahad lalu. – Reuters
Zidane (kanan) masih berbangga dengan pasukan biarpun seri 1-1 dengan Real Betis, Ahad lalu. – Reuters

Barcelona dan Atletico Madrid sekarang mendahului Real dengan empat mata di tangga teratas, sementara Barca juga memiliki satu perlawanan dalam tangan.

“Kebenarannya saya tidak menjangka (terlepas dua mata) tetapi bola sepak seperti itu, jika anda tidak mendapat peluang, segalanya boleh berlaku,” tambah Zidane. “Tetapi dengan melihat bagaimana kami beraksi, saya tidak menyalahkan pemain.”

Betis tidak menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan sebelumnya sebagai sebahagian daripada 10 perlawanan tanpa sebarang kemenangan, tetapi memerlukan tujuh minit untuk mencatatkan kejayaan dengan bergaya.

Keylor Navas berjaya menyelamatkan kedudukan untuk menghalang rembatan pertama Ruben Castro, tetapi bola jatuh kepada Cejudo di luar kotak penalti, yang terus merembat ke arah gawang seperti jaringan Zidane ketika zamannya menjadi pemain.

Madrid memberikan respons yang baik untuk berada di belakang dan Cristiano Ronaldo dan Pepe keduanya terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama, sementara Benzema juga menyaksikan permintaan sepakan penaltinya ditolak. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA