Zidane tidak riak

Zidane tidak riak

ROM, 18 Feb (AFP) – Zinedine Zidane belum lagi mengakuinya tetapi pemenang 10 kali Real Madrid masih dalam laluan bagi kemunculan separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali keenam berturut-turut selepas kemenangan 2-0 di Roma pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir semalam.

Pemenang Piala Dunia, Zidane memenangi perlawanan itu sebagai seorang pemain bersama Real pada 2002 dan sebagai pembantu kepada bekas jurulatih, Carlo Ancelotti apabila pasukan ‘Galacticos’ memenangi rekod Piala Eropah ke-10 atau ‘Decima’ pada 2014.

Pada malam dia membuat kemunculan sebagai ketua jurulatih dalam persaingan itu, pengurus dari Perancis itu yang menamatkan kerjayanya dengan penyingkiran dari padang kerana menanduk Marco Materazzi dari Itali pada persaingan Piala Dunia 2006, gembira dengan pemainnya ketika mereka menggariskan status sebagai pasukan pilihan di samping Bayern Munich dan Barcelona.

Zidane menyaksikan anak buahnya menentang Roma di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – Reuters
Zidane menyaksikan anak buahnya menentang Roma di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – Reuters

Selepas kekecewaan pada separuh masa pertama di mana Roma gagal untuk menyudahkan beberapa serangan menarik, Cristiano Ronaldo memecahkan kebuntuan pada minit ke-57 apabila mendapatkan hantaran Marcelo untuk menewaskan Wojciech Szczesny dengan rembatan yang melantun mengenai pertahanan, Alessandro Florenzi.

Gol itu adalah jaringan ke-12 penyerang dari Portugal itu dalam tujuh perlawanan Liga Juara-Juara musim ini dan melepaskan bebanan tekanan dari Zidane.

Dengan kedudukan itu, Roma terpaksa bekerja keras untuk berkongsi kegembiraan dan tidak bernasib baik untuk mendapatkan sepakan penalti apabila Florenzi jatuh selepas dikasari Dani Carvajal.

Walaupun selepas keputusan itu, tuan rumah terus berjuang menerusi penguasaan yang diinspirasikan oleh pemain sayap dari Mesir, Mohamed Salah, yang sudah terlambat.