Zika dijangka terus meningkat

Zika dijangka terus meningkat

MANILA, Filipina, 11 Okt – Jangkitan virus zika dijangka terus meningkat di rantau Asia-Pasifik, di mana pihak berkuasa kini meningkatkan pemantauan, menyediakan maklum balas terhadap komplikasi dan bekerjasama terhadap maklumat mengenai penyakit itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.

Merumitkan perjuangan menentang virus itu yang disebarkan nyamuk Aedes adalah kekurangan pendekatan ‘boleh dipercayai’ terhadap kawalan serangga itu, seperti ditunjukkan oleh usaha berdekad membendung virus denggi, kata Pengarah WHO, Margaret Chan ketika berucap dalam mesyuarat serantau di Pasifik Barat.

Katanya, persoalan lain termasuk mengapa tanda pertama kewujudan virus itu di rantau Asia-Pasifik datangnya daripada pengunjung yang mana jangkitannya disahkan sebaik mereka pulang ke tanah air.

“Adakah pemantauan lemah ini satu petunjuk imuniti meluas penduduk atau bukti virus itu boleh memberi potensi epidemik lebih besar?” soal Chan.

Gambar fail 14 September 2016 menunjukkan seorang pekerja daripada Kementerian Kesihatan membuat semburan racun nyamuk dan serangga di Kuala Lumpur, Malaysia, sehari selepas dua virus kes jangkitan Zika baru telah dikesan di negara itu. – AP
Gambar fail 14 September 2016 menunjukkan seorang pekerja daripada Kementerian Kesihatan membuat semburan racun nyamuk dan serangga di Kuala Lumpur, Malaysia, sehari selepas dua virus kes jangkitan Zika baru telah dikesan di negara itu. – AP

Gejala zika adalah ringan dan tiada kematian dilaporkan di peringkat global, kata Dr Li Ailan, pengarah keselamatan kesihatan dan kecemasan di pejabat serantau Pasifik Barat WHO. Namun katanya, berdasarkan penilaian risiko WHO, jangkitan virus zika akan terus tersebar di rantau ini dan pihak berkuasa bersiap sedia berdepan komplikasinya.

Ia termasuk mikrosefali dan sindrom Guillain-Barre. Anak damit dilahirkan oleh ibu dijangkiti zika didapati mengalami mikrosefali atau kecacatan kelahiran di mana kepala kecil dan otak tidak dapat berkembang dengan baik. Sindrom Guillain-Barre adalah gangguan di mana sistem imun tubuh menyerang bahagian sistem saraf periferal.

Dr Li berkata, Rantau Pasifik Barat adalah rantau kedua paling banyak terjejas akibat zika di dunia di mana 19 daripada 27 negara melaporkan kes zika sejak 2007 dan 13 daripadanya tahun ini. – AP