Zika: Jabatan Kesihatan diharap tingkat kekerapan pemantauan

Zika: Jabatan Kesihatan diharap tingkat kekerapan pemantauan

KOTA KINABALU, 4 Sept –Penduduk di Taman Publik Jaya, Likas, di sini, berharap Jabatan Kesihatan akan terus meningkatkan kekerapan pemantauan di sekitar kediaman mereka sebagai langkah proaktif mencegah penularan virus Zika.

Ini berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai kes jangkitan virus Zika tempatan pertama di Malaysia membabitkan lelaki berusia 61 tahun yang menetap di taman perumahan tersebut.

Seorang penduduk, John Gobel, 78, berkata Jabatan Kesihatan juga perlu terus meningkatkan kempen kesedaran awam mengenai bahaya virus Zika termasuk kepentingan mengawal pembiakan nyamuk Aedes.

“Jabatan Kesihatan perlu mengedarkan risalah maklumat di setiap unit perumahan mengenai bahaya nyamuk Aedes,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

John, yang turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan rumahnya sentiasa bersih, berkata pekerja pembersihan awam Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu membuat pembersihan sampah bukan sahaja di kawasan taman perumahan mereka malah di sekitar Likas.

Petugas daripada syarikat pembersihan setempat membersihkan kawasan parit Taman Publik Jaya selepas seorang penghuni kawasan itu menjadi rakyat Malaysia pertama dijangkiti Virus Zika yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung kelmarin. – Bernama
Petugas daripada syarikat pembersihan setempat membersihkan kawasan parit Taman Publik Jaya selepas seorang penghuni kawasan itu menjadi rakyat Malaysia pertama dijangkiti Virus Zika yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung kelmarin. – Bernama

“Setiap penghuni di taman perumahan seharusnya memberi kerjasama dengan mengadakan gotong-royong bagi memastikan kawasan kejiranan sentiasa bersih dan bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya yang tahu mengenai bahaya Zika dan denggi menerusi surat khabar.

Seorang lagi penduduk, Mary Chang, 40, berharap Jabatan Kesihatan dapat memantau kawasan taman perumahan mereka seminggu sekali selain mempergiatkan lagi aktiviti semburan kabus bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau yang turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan virus itu, berkata setiap kejiranan juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan memastikan tidak membuang sampah ke dalam longkang kerana ia boleh menyebabkannya tersumbat dan air bertakung.

Sementara itu, beberapa pekerja pembersihan daripada syarikat swasta dilihat berada di kawasan taman perumahan tersebut untuk mengutip sampah dan melakukan pembersihan longkang.

Pada Khamis lepas, Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes virus Zika tempatan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun berbangsa Dusun dari Likas, Sabah.

Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung yang dihadapinya. – Bernama