Zika: Orang ramai jangan panik

Zika: Orang ramai jangan panik

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik berikutan nasihat perjalanan virus Zika yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat berkenaan perjalanan ke Asia Tenggara termasuk Brunei Darussalam.

Program pengawasan virus Zika itu meliputi kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta yang secara rutin menyaring kes-kes disyaki berdasarkan definisi dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sampel-sampel makmal juga dikumpulkan bagi ujian pengesahan.

Kementerian Kesihatan menjelaskan perkara ini dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, dengan turut menekankan bahawa tiada penyakit virus Zika dikesan di negara ini.

Namun begitu, pihak kementerian akan terus berjaga-jaga dan telah membangunkan Pelan Kesediaan Kementerian Kesihatan bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Virus Zika untuk bersedia bagi sebarang kemungkinan.

Di samping itu, semua aktiviti pencegahan dan pembangunan kapasiti kebangsaan untuk mencegah, mengesan dan mengawal penyakit itu sedang diselia oleh Pasukan Petugas Berbilang Sektor bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Virus Zika.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan ini merangkumi agensi-agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Perhubungan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, serta Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, selaras dengan panduan WHO, Kementerian Kesihatan tidak menasihatkan sebarang sekatan perjalanan dan perdagangan dengan negara-negara yang terjejas atau sebarang penyaringan atau pengasingan pelancong di tempat-tempat kemasukan.

Bagi maklumat lanjut mengenai penyakit-penyakit virus Zika dan bawaan nyamuk, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di alamat www.moh.gov.bn atau hubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA